BENZEMA meraikan jaringan pembukaan Real. FOTO AFP
BENZEMA meraikan jaringan pembukaan Real. FOTO AFP
AFP

Madrid: Real Madrid mengukuhkan kedudukan di tangga teratas apabila menumpaskan Atletico Madrid 2-0 untuk meninggalkan penyandang juara La Liga itu dengan kelebihan 13 mata.

Atletico mempunyai satu perlawanan berbanding seteru setempat mereka namun kelebihan itu dilihat tidak dapat membantu kerana jurang mata yang jauh.

Barcelona pula sekarang ini ketinggalan 18 mata di belakang dan boleh dikatakan sudah tidak relevan untuk mencabar kejuaraan selepas mereka hanya seri 2-2 ketika menentang Osasuna di tempat lawan.

Sevilla yang kali terakhir memenangi kejuaraan liga pada 1946, adalah pencabar paling dekat buat Real, dengan dipisahkan hanya lapan mata.

"Kami adalah pasukan pilihan hari ini, sudah tentu anda boleh berkata seperti itu. Bagaimanapun, kalau anda terlalu tenang ia akan memakan diri. Kami harus terus berusaha agar dapat muncul juara secepat mungkin," kata Carlo Ancelotti.

Real jelas sekali kelihatan mempunyai kelebihan dalam perlawanan berkenaan yang sekali-sekala berlaku keadaan tegang.

Bagaimanapun, ia ditenangkan dengan aksi dominasi pasukan tuan rumah di Santiago Bernabeu.

"Perlumbaan untuk memburu juara liga masih lagi terbuka. Banyak lagi baki perlawanan. Real memang mempunyai kelebihan mata yang besar itu sangat tepat namun saingan La Liga sukar diramal," kata Diego Simeone.

Karim Benzema kembali cergas dan dapat diturunkan namun sekali lagi terpaksa dikeluarkan pada separuh masa kedua.

Bagaimanapun, rembatan voli yang dilakukan pada separuh masa pertama membolehkan Real mendahului saingan sebelum Marco Asensio meledak gol kedua di separuh masa kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Disember 2021 @ 9:02 AM