KPAH Sherman tidak lagi bersama Kedah pada musim depan. FOTO Aizuddin Saad
KPAH Sherman tidak lagi bersama Kedah pada musim depan. FOTO Aizuddin Saad
Izzali Ismail


Alor Setar: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dikhabarkan sedang berusaha mendapatkan penyerang import utama bagi menghadapi saingan Liga Malaysia dan pentas Piala AFC musim depan.

Kedah memerlukan seorang peledak berbisa yang diyakini dapat menghasilkan sentuhan gol selepas penyerang utamanya, Kpah Sherman sudah tidak bersama skuad Hijau Kuning pada aksi musim depan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, KDA FC Khamal Idris Ali, pihaknya kini hampir mendapatkan seorang penyerang utama dan dikhabarkan pemain berkenaan adalah peledak berbisa dan beraksi dalam liga di Timur Tengah pada musim ini.

"Pencarian untuk posisi penyerang utama bagi menggantikan Kpah Sherman sedang diusahakan dan penyerang itu kini sedang beraksi dalam liga Timur Tengah, namun saya tak dapat menjelaskan lebih lanjut kerana proses sedang berlangsung.

"Pihak KDA FC juga sudah mengadakan berbincangan dengan ketua jurulatih, Aidil Sharin Sahak bagi memastikan setiap pemilihan pemain dapat dilakukan mengikut perancangan untuk musim depan.

"Pada masa sama, KDA FC juga sedang berunding dengan beberapa calon lain yang dilihat memenuhi keperluan pasukan bagi menempuh saingan lebih sengit Liga Malaysia dan Piala AFC musim depan," katanya.

Khamal juga berkata, setakat ini belum ada pengesahan rasmi mengenai keseluruhan pemain import yang akan menyertai Kedah dan beliau berharap penyokong dapat bersabar.

"Saya berharap dengan sedikit maklumat ini dapat memberi kelegaan buat penyokong yang masih ternanti-nanti siapakah pemain import berkenaan," katanya.

Kedah tidak mengambil masa yang lama untuk mengumumkan barisan pemain tempatan yang mengesahkan tempat pada musim depan seperti Syazwan Zainon, Shahril Shaari, Azammuddin Akil, Ifwat Akmal, Amirul Hisyam, Ilham Amirullah, Syazwan Tajudin dan Fayadh Zulkifli.

Turut beraksi bersama skuad Hijau Kuning adalah Ariff Farhan, Asnan Ahmad, Aiman Afif, Fadzrul Danel, Loqman Hakim serta pemain dari skuad Piala Presiden Kedah, Fikhri Zulkiflee, Kamil Akmal, Afeeq Iqmal, Heshamudin Ahmad dan Fareez Fadzil.

Kedah juga memperkenalkan berapa pemain baharu yang diyakini bakal mengukuhkan pasukan seperti Azmeer Aris, Amer Azahar, Al Hafiz Harun, Khairul Azrin dan Amirul Azhan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Disember 2021 @ 8:02 PM