DE PAULA ketika sesi latihan skuad negara di Singapura. FOTO FAM
DE PAULA ketika sesi latihan skuad negara di Singapura. FOTO FAM
Firdaus Hashim


Singapura: Perubahan taktikal kemungkinan berlaku dalam aksi kedua Kumpulan B saingan Piala AFF apabila skuad Harimau Malaya menentang Laos di Stadium Bishan, petang esok dengan penyerang tempatan bakal mengetuai jentera serangan.

Jangkaan itu selepas pengendali negara, Tan Cheng Hoe mengakui teruja melihat persembahan rangkaian pemain tempatan seperti Shahrel Fikri, Luqman Hakim Shamsudin, Arif Aiman Hanapi dan R Kogileswaran yang dimasukkan sebagai pemain gantian ketika menentang Kemboja Isnin lalu.

Katanya, impak kemasukan empat tonggak muda itu pada pertengahan babak kedua nyata berjaya menambah sengat dan oleh itu, elemen sama diperlukan untuk berdepan Laos yang dilihat memiliki benteng pertahanan agak ampuh.

Jelasnya, biarpun Laos tewas 2-0 di tangan Vietnam pada aksi pertama, tahap disiplin skuad bimbingan V Selvaraj amat baik dan sukar untuk ditembusi.

"Kalau kita lihat bahagian pertahanan Laos terutama di pertahanan tengah mereka memang nampak kompak dan berdisiplin. Kami barisan jurulatih sedang bincang formula atau kombinasi terbaik untuk dapatkan keputusan positif. Bukan satu tugas mudah untuk kita dapatkan kombinasi itu.

"Tetapi kita nampak pemain yang diturunkan seperti Kogileswaran, Arif Aiman, Luqman dan Shahrel Fikri sedikit sebanyak memberi gambaran kepada kita pemain itu mampu diberi peluang untuk dalam barisan kesebelasan utama skuad kali ini," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Ini bermakna, jika Cheng Hoe memilih set pemain yang berlainan untuk pertemuan dengan Laos itu, ia menyaksikan penyerang naturalisasi negara, Guilherme de Paula bakal direhatkan di bangku simpanan.

Malaysia hadir ke Singapura dengan misi besar iaitu untuk mengulangi pencapaian tiga tahun lalu mara ke pentas final buat kali kedua berturut-turut sebelum cuba mengintai peluang menjulang trofi kali ini.

Pada aksi pertama Isnin lalu, skuad Harimau Malaya menang selesa 3-1 ke atas Kemboja hasil jaringan Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan Kogileswaran untuk menghadiahkan tiga mata pertama buat kem negara.

Kemenangan itu juga menyaksikan Malaysia kini memimpin carta Kumpulan B untuk menolak juara bertahan, Vietnam di tangga kedua yang turut mengumpul mata sama namun dibezakan jumlah jaringan selepas skuad Naga Emas itu membenam Laos 2-0.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Disember 2021 @ 9:30 PM