KHAIRU bersama Kedah musim depan. FOTO MFL
KHAIRU bersama Kedah musim depan. FOTO MFL
Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Minat yang mendalam ditunjukkan ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC, Aidil Sharin Sahak serta reputasi besar pasukan di Liga Malaysia itu membuatkan pemain tengah berpengalaman, Khairu Azrin Khazali akui sukar menolak tawaran untuk menyertai skuad Hijau Kuning pada musim 2022.

Dua faktor itu membuatkan dia yakin keputusan bersama Kedah adalah tepat dan berharap kariernya akan terus bersinar selepas berjaya melalui dua musim yang penuh cemerlang di Penang FC.

Biarpun sedar dia perlu bersaing dengan ramai pemain lain untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama, pemain berusia 31 tahun menganggap itu adalah lumrah dalam mana-mana karier pemain bola sepak profesional.

"Sebenarnya Kedah sudah lama menyatakan hasrat untuk mendapatkan saya melalui kesungguhan serta minat yang ditunjukkan jurulatih mereka, Aidil.

"Melihatkan caranya yang begitu serius mahukan saya bersama Kedah nyata membuatkan saya terbuka hati dan pada masa sama, saya amat hormati Kedah yang juga sebuah pasukan nama besar serta reputasi tersendiri dalam Liga Malaysia.

"Saya sedar perlu bersaing dengan ramai pemain lain seperti Fadzrul Danel dan Asnan Ahmad tetapi itu adalah adat dalam dunia bola sepak profesional," katanya.

Selain Khairu, Kedah juga menyambar tiga lagi pemain lain Penang iaitu Amer Azahar, Al Hafiz Harun dan Azmeer Aris bagi saingan musim 2022.

Khairu sebelum ini banyak mencipta nama di PKNS FC dari 2011 hingga 2015 sebelum melalui pasang surut dalam kariernya apabila menyertai Melaka United, Felda United, Terengganu dan Penang FC.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 8:33 PM