HABIB (kanan) kekal bersama Terengganu FC musim depan. FOTO TFC
HABIB (kanan) kekal bersama Terengganu FC musim depan. FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Persiapan Terengganu FC (TFC) bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan kian rancak selepas skuad itu mengekalkan pemain tengah kelahiran Bahrain, Habib Haroon.

Turut kekal bersama skuad Penyu itu penjaga gol utama, Suhaimi Husin; pemain tengah, Faiz Nasir dan pertahanan, Azarul Nazarith Azhar.

Sebelum ini, Habib yang beraksi bersama TFC bermula Mei lalu selepas jendela kedua perpindahan pemain dibuka, menjadi antara pemain TFC yang menjadi buruan pasukan lain selepas aksi cemerlangnya.

Semalam Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd mengumumkan ketua jurulatih musim ini, Nafuzi Zain terus dikekalkan membimbing pasukan TFC musim depan dengan kontrak selama setahun.

Menerusi kenyataan media TFC Sdn Bhd hari ini, khidmat Habib dan tiga lagi pemain tempatan dikekalkan bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan selepas pihak pengurusan berpuas hati dengan prestasi mereka.

"Pemain kelahiran Bahrain, Habib akan terus kekal bersama pasukan TFC musim 2022, turut kekal bersama skuad TFC tiga pemain tempatan iaitu Faiz, Suhaimi dan Azarul," demikian menurut kenyataan itu.

Sebelum ini dua pemain sah tidak berada dalam senarai pasukan itu termasuk bekas kapten Perak, Nasir Basharudin yang digugurkan manakala pertahanan tengah, Muhammad Mohd Fauzi memilih untuk tidak menyambung kontrak.

Selain itu, tiga pemain import termasuk penyerang kelahiran Brazil, David Da Silva sudah tidak ada dalam perancangan pasukan itu musim depan.

Bagaimanapun khidmat penyerang Terengganu FC II (TFC II) kelahiran Ghana, Jordan Mintah akan dikekalkan manakala penyerang kelahiran Liberia, Kpah Sherman kini dalam proses rundingan.

Musim ini Petunjuk Prestasi Utama (KPI) skuad itu tidak tercapai apabila gagal beraksi di pentas Piala AFC tahun depan selepas sekadar menghuni di tangga keempat Liga Super dan terkandas di peringkat separuh akhir Piala Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 8:14 PM