DE Paula (kiri) menjadi mangsa kecaman penyokong Harimau Malaya. FOTO FAM
DE Paula (kiri) menjadi mangsa kecaman penyokong Harimau Malaya. FOTO FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Enggan terus isu lempar botol berpanjangan, pemain naturalisasi negara, Guilherme De Paula akhirnya meluahkan perasaan yang cukup panjang bagi menjelaskan keadaan sebenarnya apa yang berlaku.

Pemain yang berasal dari Brazil itu menjelaskan bahawa sesetengah individu salah tafsir menyebabkan perkara itu menjadi tular dan hangat di media sosial.

Menerusi hantarannya di Instagram, dia memaklumkan sangat berbangga mewakili Malaysia dan sentiasa berusaha memberikan aksi terbaik setiap kali diturunkan.

"Sejak hari pertama saya bermain bersama skuad kebangsaan, saya amat menghargai dan menghormati setiap harapan anda terhadap saya. Penghormatan itu amat menggalakkan, terima kasih.

"Namun insiden semalam disalah ertikan segelintir pihak dan ia sekali gus menjadikan perkara itu lebih buruk.

"Saya sentiasa menghormati jurulatih dan rakan sepasukan. Sejujurnya saya kecewa sedangkan saya sudah memberikan 100 peratus yang terbaik di atas padang. Cuma kadang kala saya merasakan saya boleh buat lebih baik daripada itu," katanya.

Selain itu, De Paula tetap yakin dirinya dan rakan sepasukan akan memberi sinar kebahagiaan buat penyokong Harimau Malaya. Tambahnya, dia akan terus perbaiki diri dan meningkat usaha semaksimum mungkin.

"Terus maju ke hadapan. Saya akan bekerja keras dan perbaiki diri sendiri dalam pasukan. Kita dahagakan kemenangan dan kita akan berjuang bersama untuk Malaysia," katanya.

Sebelum itu, ketika perlawanan pertama Piala AFF membabitkan Malaysia menentang Kemboja dengan keputusan memihak kepada pasukan kebangsaan 3-1, berlaku insiden 'pelik' apabila secara tiba-tiba pemain naturalisasi negara itu naik 'hantu'.

Kejadian yang menarik perhatian ramai penyokong di Stadium Bishan petang semalam menyaksikan pemain itu membaling botol minuman di bangku simpanan sebaik digantikan dengan tonggak muda negara, Luqman Hakim Shamsuddin.

Tidak cukup dengan perbuatan itu, dia turut dilihat memberikan satu 'renungan tajam' kepada penyokong Malaysia yang memberikan tepukan gemuruh kepada pemain itu.

Situasi terbabit dikongsi wakil ESPN FC, Gabriel Tan menerusi ciapan di twitternya yang dilihat perbuatan itu tidak sepatutnya dilakukan oleh pemain naturalisasi terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 7:37 PM