KHIDMAT Akono (dua dari kanan) tidak diperlukan musim depan.
KHIDMAT Akono (dua dari kanan) tidak diperlukan musim depan.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Jodoh tiga pemain import yang membantu Negeri Sembilan FC (NSFC) menjulang kejuaraan Liga Perdana musim ini tidak berpanjangan apabila kontrak mereka tidak disambung untuk menghadapi saingan Liga Super musim depan.

Mereka membabitkan Alain Thiery Akono Akono dari Cameroon, Arthur Chunha (Brasil) dan Bae Beom Geun (Korea Selatan).

Pengurus Besar NSFC, Firdaus Bhari berkata, seramai 11 pemain tempatan musim ini turut dilepaskan dengan dua daripadanya sudah bertindak lebih awal kerana menerima tawaran daripada pasukan lain.

Katanya, dua pemain terbabit ialah penjaga gol, Damien Lim yang berhijrah ke Sabah FC dan R Barathkumar (Petaling Jaya City FC).

"Pemain lain yang tidak disambung kontrak ialah R Aroon Kumar, Muhammad Ferris Danial Mat Nasir, Osman Yusoff, Ahmad Tasnim Fitri Mohd, Raja Imran Shah Raja Amin, Danial Hadri Effandi Jagan, Muhammad Alif Romli, Abdul Halim Zainal dan S Deevan Raj.

"Kecuali Damien Lim dan Barathkumar, pemain yang tidak disambung kontrak adalah barisan kedua yang beraksi sebagai pemain simpanan atau dari kumpulan bukan pemain utama," katanya.

Menurutnya, setakat ini terdapat lapan pemain skuad musim ini yang masih kekal bersama pasukan namun keputusan muktamad masih belum dibuat untuk musim depan kerana bergantung kepada persetujuan bersama antara kedua-dua pihak dalam mementerai kontrak baharu.

Firdaus berkata, terdapat dua pemain baharu diserapkan dalam NSFC iaitu Mohamad Izzuddin Mohd Roslan dari Perak FC dan Syihan Hazmi dari PJ City.

Katanya, selain itu, dua pembantu ketua jurulatih iaitu K Rajan berpindah ke PJ City dan jurulatih kecergasan, I Arulchelvan bersama skuad Selangor FC.

"Kami mengucapkan setinggi penghargaan kepada kedua-dua jurulatih kerana tidak akan bersama pasukan pada 2022 dan pemain yang telah memberikan sumbangan terbaik kepada pasukan sepanjang musim ini.

"Segala jasa dan keringat anda semua amat dihargai kerana membantu membawa NSFC sehingga muncul juara Liga Perdana 2021," katanya.

NSFC yang dikendalikan ketua jurulatih, K Devan berjaya mencapai sasaran mereka pada musim ini selepas menjuarai Liga Perdana sekali gus beraksi di Liga Super musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 1:54 PM