GELAGAT Moura (tengah), Heung-Min (kiri) Pierre-Emile Hojbjerg  meraikan jaringan.
GELAGAT Moura (tengah), Heung-Min (kiri) Pierre-Emile Hojbjerg meraikan jaringan.
Agensi

London: Lucas Moura yakin kekuatan mental Tottenham semakin meningkat di bawah kendalian Antonio Conte selepas mencatat kemenangan ketiga berturut-turut dalam aksi Liga Perdana Inggeris.

Spurs memintas Arsenal di tangga kelima menerusi kemenangan 3-0 ke atas kelab corot Norwich City awal pagi tadi.

Lucas meledak gol pertamanya musim ini hasil rembatan dari jarak 22 meter manakala jaringan Davinson Sanchez dan Son Heung-min mengesahkan tiga mata penuh.

Conte muncul hanya pengurus ketiga Tottenham yang menang tiga aksi pertama di tempat sendiri sejak Harry Redknapp dan Ryan Mason.

Lucas yang menjaringkan gol keduanya daripada luar kotak penalti sejak tiba dari Paris Saint-Germain pada 2018 gembira dengan peningkatan prestasi Spurs.

"Saya puas hati akhirnya dapat menjaringkan gol pertama dalam Liga Perdana musim ini," kata pemain Brazil itu. "Gol menarik dan perasaan sukar digambarkan!

"Saya cuba kawal bola dan apabila mendapati ada ruang kosong, saya membuat rembatan.

"Saya fikir dengan Tottenham, ia tiga gol paling menarik. Saya tidak meledak banyak gol seperti Son atau Harry, tetapi menjaringkan beberapa gol menarik dan saya gembira membantu mereka."

Bercakap kepada Sky Sports News, Lucas berkata: "Ia persembahan mantap. Saya fikir kami membina keyakinan yang sangat kukuh dan perlu meneruskannya. Setiap hari kami bekerja keras dan melaksanakannya di atas padang seperti yang diminta Antonio.

"Saya rasa cara permainan kami jelas, kami sangat agresif dengan intensiti tinggi dan kami melakukannya dengan sangat baik."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 9:36 AM