DE Paula (tengah) pada sesi latihan. FOTO FAM
DE Paula (tengah) pada sesi latihan. FOTO FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe sudah bersedia untuk mempertaruhkan penyerang naturalisasi negara, Guilherme de Paula bagi mengetuai jentera serangan pasukan pada aksi pertama Piala AFF berdepan Kemboja di Stadium Bishan, Singapura, esok.

Walaupun masih berteka-teki mengenai kesebelasan utama pasukan, Cheng Hoe mengakui De Paula kini sudah mampu menangani sebarang tekanan tidak kira sama ada ketika beraksi ataupun tekanan di luar padang.

Katanya, ayam tambatan kelahiran Brazil itu dilihat cukup bermotivasi sepanjang latihan dan nyata pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu semakin matang.

"Kalau kita lihat De Paula dia dah matang dari segi bagaimana menguruskan tekanan. Dia boleh sesuaikan diri dengan tekanan, di mana dalam latihan dia bersungguh-sungguh dan tahap keyakinannya tinggi.

"Kita harap De Paula dapat memberi sesuatu atau memberikan gol atau impak yang terbaik untuk pasukan, dan kita mengharapkan juga bukan sahaja De Paula tetapi keseluruhan pemain yang diturunkan dapat menberi sesuatu persembahan yang terbaik untuk pasukan juga," kata Cheng Hoe.

Sebelum ini, bekas penyerang Perak FC dan Selagor FC di Liga Malaysia itu sering mendapat perhatian peminat bola sepak tempatan yang mengkritik aksinya ketika Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di UAE serta dua aksi persahabatan di Jordan Oktober lalu.

Ramai mengharapkan De Paula memberikan persembahan yang memukau seiring dengan statusnya selaku tonggak naturalisasi yang diberikan kerakyatan bagi membantu pasukan negara di pentas antarabangsa.

Sementara itu, Cheng Hoe mahu skuad kendaliannya melakar keputusan positif ke atas skuad 'Angkor Warriors' itu.

"Matlamat esok adalah untuk mendapatkan keputusan positif dan sudah tentu kita tak boleh pandang rendah pasukan Kemboja. Seperti saya bagi tahu sebelum ini, mereka dah nampak pasukan yang berlainan," katanya yang membawa pasukan muncul naib juara pada edisi 2018.

Untuk rekod, kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu adalah pada peringkat kumpulan Piala AFF 2018 dengan Malaysia menang tipis 1-0 menerusi jaringan tunggal Norshahrul Idlan Talaha.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Disember 2021 @ 5:58 PM