MESSI gagal membantu PSG untuk mencatatkan kemenangan ketika berdepan LENS. FOTO AFP
MESSI gagal membantu PSG untuk mencatatkan kemenangan ketika berdepan LENS. FOTO AFP
AFP

Paris: Jaringan penyamaan Georginio Wijnaldum pada masa kecederaan membolehkan Paris Saint Germain (PSG) mencatat keputusan seri menentang Lens di tempat lawan.

Perlawanan itu juga menyaksikan Lionel Messi terbukti berdepan masalah untuk menyesuaikan diri dengan aksi fizikal bola sepak Perancis.

Messi terbaring akibat dibentes keras dan beberapa pemain PSG berhenti bermain sehingga membolehkan Seko Fofana bergerak untuk meledak gol Lens pada minit ke-62.

Ia kelihatan sudah cukup buat Lens untuk meraih kemenangan sekali gus menggembirakan hampir 37,000 penyokong di atas persembahan cemerlang mereka.

Bagaimanapun, PSG menyamakan kedudukan dua minit di masa kecederaan apabila hantaran Kylian Mbappe berjaya ditanduk masuk pemain gantian, Wijnaldum.

Ia adalah keputusan seri kali ketiga buat PSG, yang menjarakkan kedudukan pendahulu kepada 13 mata, selepas Marseille tumpas 1-2 di laman sendiri kepada Brest semalam.

Walaupun berjaya melebarkan jarak dengan jurang yang jauh, ia satu lagi persembahan kurang meyakinkan buat pasukan bimbingan Mauricio Pochettino.

"Lens adalah pasukan yang bagus dan sangat fizikal. Mereka membuatkan kami bergelut. Secara keseluruhan saya rasa keputusan seri adalah sangat adil.

"Ia bukan malam terbaik kami namun usaha tetap ada, apabila ada usaha anda harus mengucapkan tahniah kepada pemain, sekarang kami sudah tahu perlu melakukan lebih baik," kata Pochettino.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Disember 2021 @ 11:51 AM