KANE terus mendapat sokongan daripada Conte. FOTO AFP
KANE terus mendapat sokongan daripada Conte. FOTO AFP
AFP

London: Pengurus Tottenham, Antonio Conte yakin penyerangnya yang kemarau jaringan, Harry Kane akan kembali menemui sasaran dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Kane hanya meledak satu gol dalam 12 perlawanan tatkala dia bergelut mengulangi pencapaian musim lalu yang menobatkannya sebagai penjaring terbanyak liga.

Ketua pasukan England itu, yang meraih kasut emas sebanyak tiga kali dalam tempoh enam tahun terakhir, masih gagal untuk mencari keyakinan diri sejak dia gagal berpindah ke Manchester City sebaik musim lalu berakhir.

Pemain berusia 28 tahun itu juga mengakui kekuatan mental dan fizikalnya semakin merosot sejak England tumpas dalam perlawanan akhir Euro 2020 kepada Itali Julai lalu.

Dia gagal untuk menjaringkan gol ketika Tottenham menang 2-0 ke atas Brentford semalam, terlepas peluang keemasan pada separuh masa kedua namun Conte yakin Kane kembali menemui sentuhan tidak lama lagi.

"Pertama sekali, saya pasti Harry gembira jika kami mencatat kemenangan walaupun dia tidak menjaringkan gol, kerana perkara paling mustahak buat kami dan juga dia adalah demi Tottenham.

"Ia sangat penting mempunyai peluang untuk menjaringkan gol dan kami menunjukkan banyak peningkatan mengenai aspek ini. Saya pasti Harry akan meledak lebih banyak gol.

"Saya yakin dia akan memberikan persembahan terbaik apabila menentang pasukan lain sama seperti ketika bertemu Brentford. Saya sangat gembira dengan cara permainannya," kata Conte.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Disember 2021 @ 8:01 AM