Hamidin (dua kanan) menyaksikan majlis menandatangani mou antara KeTSA dengan FAM di Wisma FAM. FOTO FAM
Hamidin (dua kanan) menyaksikan majlis menandatangani mou antara KeTSA dengan FAM di Wisma FAM. FOTO FAM
BERNAMA

Petaling Jaya: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak akan menghalang mana-mana kelab Liga Malaysia (Liga M) yang mahu menaturalisasikan pemain masing-masing.

Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata walaupun badan induk itu menangguhkan sementara proses naturalisasi pemain untuk pasukan kebangsaan, kelab Liga M masih boleh meneruskan usaha itu sekiranya mencukupi syarat.

"Kita (FAM) nak melihat keberkesanannya (naturalisasi untuk skuad Harimau Malaya) pada masa akan datang. Kalau sekarang ini ada mana-mana kelab ingin menaturalisasikan pemain mereka, terpulang kepada mereka kerana pemain-pemain ini akan bermain untuk kelab," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) dengan FAM bagi mengukuhkan kerjasama dalam usaha konservasi Harimau Malaya di Wisma FAM di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan juara Piala Malaysia 2021, Kuala Lumpur (KL) City FC berhasrat untuk menaturalisasikan penyerang dari Colombia, Romel Morales apabila cukup syarat lima tahun beraksi di Liga M pada 2022, manakala Sri Pahang FC dikatakan dalam proses menaturalisasikan Lee Tuck (England).

Ditanya mengenai ketiadaan dua pemain naturalisasi - Liridon Krasniqi (Kosovo) dan Mohamadou Sumareh (Gambia) - dalam skuad Harimau Malaya ke saingan Piala AFF bermula Ahad ini, Hamidin percaya dan yakin dengan keputusan dan pilihan dibuat ketua jurulatih Tan Cheng Hoe dan barisan teknikal skuad kebangsaan.

"Saya difahamkan daripada Cheng Hoe bahawa Liridon baru dapat bermain di satu kelab di India (Odisha FC), dan atas faktor tidak menjalani latihan intensif beberapa bulan ini, jadi beliau tak disenaraikan, satu keputusan tepat. Sumareh mungkin difahamkan ada kecederaan groin, jadi mereka menyenaraikan Arif Aiman Hanapi.

"Kalau kita lantik beliau (Cheng Hoe) sebagai ketua jurulatih, kita bagi beliau peluang. Kalau kita nak dengar (pendapat) semua pihak, semua pun tak jadi," katanya.

Sementara itu, Hamidin berkata pihaknya tiada masalah sekiranya ada kelab seperti Petaling Jaya (PJ) City FC mahu menggunakan khidmat pemain tempatan 100 peratus, tetapi menganggapnya sebagai langkah ke belakang.

"Kita perlu lihat, kelab yang mahu bertanding dalam liga ini, mereka ada KPI (petunjuk prestasi utama), ada yang nak bersaing dalam Liga Juara-Juara AFC, Piala AFC, jadi mereka perlu ada pemain import," jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Disember 2021 @ 8:43 PM