CONTE puas hati dengan kemenangan ke atas Brentford. FOTO EPA
CONTE puas hati dengan kemenangan ke atas Brentford. FOTO EPA
AFP

London: Antonio Conte berkata Tottenham sudah mula memahami falsafahnya selepas gol pertama Son Heung Min di Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak Oktober membolehkan mereka mencatat kemenangan 2-0 ke atas Brentford.

Kali terakhir pasukan Conte beraksi adalah tujuh hari lalu ketika mencatat kekalahan memalukan 1-2 berdepan kelab kerdil Slovenia, NS Mura dalam saingan Liga Konferensi Europa.

Tersentak dengan kekalahan berkenaan, Conte minggu ini mengakui tugas di Tottenham adalah satu cabaran besar buat beliau.

Walaupun Tottenham masih lagi dalam proses pemulihan, Conte setidak-tidaknya berasa sedikit yakin di atas kemenangan pagi tadi.

Gol sendiri Sergi Canos membolehkan Tottenham mendahului perlawanan pada separuh masa pertama dan Heung Min mengesahkan kemenangan mereka hasil jaringan selepas waktu rehat.

Ia adalah gol ke-75 buat Heung Min dalam saingan EPL sejak menyertai pasukan London utara itu dari Bayer Leverkusen pada 2015.

Tottenham melonjak ke tangga keenam selepas meneruskan rentak tanpa kalah tiga perlawanan di bawah kendalian Conte sejak beliau menggantikan Nuno Espirito Santo yang dipecat bulan lalu.

"Ia adalah persembahan yang baik berdepan pasukan berbahaya. Saya gembira kerana melihat komitmen dan keterujaan pemain, ia reaksi yang menyenangkan.

"Pemain mula memahami falsafah saya. Dengan menguasai permainan kami boleh melakukan lagi baik tapi pada masa sama gol kedua adalah sangat menarik.

"Tiga mata adalah sangat bagus untuk keyakinan. Kami memulakan perjalanan baru. Pemain menunjukkan kepada saya keinginan untuk mengubah situasi," kata Conte

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Disember 2021 @ 8:56 AM