Aksi pemain sayap Manchester United, Jadon Sancho (kiri) dalam saingan Liga Perdana Inggeris. FOTO EPA
Aksi pemain sayap Manchester United, Jadon Sancho (kiri) dalam saingan Liga Perdana Inggeris. FOTO EPA
Agensi

London: Edinson Cavani memuji sikap Jadon Sancho selepas pemain sayap Manchester United memecah kebuntuan jaringan untuk kelab itu minggu lalu.

Sancho tiba di Old Trafford dari gergasi Jerman, Borussia Dortmund pada musim panas dengan nilai perpindahan £73 juta (RM407 juta) namun bergelut mendapat rentak pada awal bulan musim ini selepas jarang diturunkan di bawah kendalian bekas bos mereka, Ole Gunnar Solskjaer.

Bagaimanapun, pemain berusia 21 tahun itu diberi peluang untuk membuktikan kemampuannya sejak beberapa minggu ini dan meledak gol penting dalam ketika membantu kemenangan iaitu mengatasi Villarreal, 2-0 dalam Liga Juara-Juara dan pertembungan berdepan Chelsea dalam saingan Liga Perdana Inggeris, Ahad lalu.

Penyerang United, Cavani yang masih tersisih dari aksi kerana kecederaan memuji sikap Sancho untuk mengubah nasibnya di kelab itu seterusnya menyarankan pemain kebangsaan England itu terus mempamerkan peningkatan.

"Saya yakin salah satu daripada perkara penting adalah menjaringkan gol. Ia akan menjadi jaminan dan ketenangan untuk terus berusaha keras dan menjalani latihan.

"Saya fikir, dalam bola sepak, anda perlu mengenal pasti kekuatan diri yang mana akan membantu untuk pergi lebih jauh dan memberi impak kepada pasukan," kata Cavani.

Sancho pastinya menjadi sandaran pengendali sementara Red Devils, Michael Carrick selepas pengendali yang baru dilantik kelab itu, Ralf Rangnick berdepan masalah permit kerja dan tidak dapat memulakan tugasnya berdepan Arsenal, awal pagi Jumaat ini.

United yang kini berada di tangga kelapan liga, ketinggalan lima mata di belakang Arsenal di tempat kelima berdepan ujian getir melayan kunjungan skuad kendalian Mikel Arteta di Old Trafford.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Disember 2021 @ 11:23 AM