VINICIUS (tengah) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
VINICIUS (tengah) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
AFP

Madrid: Vinicius Junior menjaringkan gol kemenangan minit ke-87 dalam kebangkitan Real Madrid ketika menewaskan Sevilla 2-1 dan mendahului saingan La Liga dengan kelebihan empat mata.

Pemain berusia 21 tahun itu cukup cemerlang musim ini dan sekali lagi memberi impak di Santiago Bernabeu apabila mendapat tepukan gemuruh selepas memastikan kemenangan keenam berturut-turut Real.

"Dia amat luar biasa. Dia pemain yang mempunyai sesuatu yang sangat istimewa di kakinya," kata pengendali Madrid, Carlo Ancelotti.

Sevilla yang menguasai babak pertama, mendahului permainan menerusi tandukan Rafa Mir tetapi kesilapan penjaga gol mereka, Bono membolehkan Karim Benzema meledak gol ke-19 peribadi musim ini.

Madrid kini empat mata di depan Real Sociedad, yang akan menjadi lawan mereka di Anoeta hujung minggu ini, manakala Sevilla kekal di tangga keempat, lima mata di belakang Madrid.

Vinicius kini mengumpul 11 gol dalam 24 penampilan musim ini.

Selepas tidak menjadi pilihan utama ketika Madrid dikendali Zinedine Zidane, Vinicius membuktikan kemampuan sebenarnya hasil kepercayaan diberikan Ancelotti.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 November 2021 @ 9:35 AM