SAKA (tengah) meraikan jaringannya. FOTO EPA
SAKA (tengah) meraikan jaringannya. FOTO EPA
AFP

London: Arsenal kembali ke landasan tepat apabila melakar kemenangan 2-0 ke atas Newcastle semalam sekali gus menyaksikan Eddie Howe mengalami kekalahan pertama selaku pengurus kelab yang sedang bergelut itu.

Skuad bimbingan Mikel Arteta menyaksikan rekod tanpa tewas mereka dalam 10 perlawanan di semua pertandingan berakhir minggu lalu selepas tewas 0-4 kepada Liverpool.

Bagaimanapun gol separuh masa kedua menerusi Bukayo Saka dan Gabriel Martinelli di Stadium Emirates menyaksikan mereka mencatatkan empat kemenangan daripada lima perlawanan terakhir liga.

Arsenal kini menduduki tangga kelima, berkongsi mata dengan West Ham di tangga keempat dalam usaha mereka untuk kembali beraksi di Liga Juara-Juara musim depan.

"Saya gembira dengan keputusan ini selepas tewas kepada Liverpool. Anda perlu terus memenangi perlawanan," kata Arteta.

"Kata kuncinya adalah kami perlu sentiasa bersabar. Kami perlu beraksi dengan baik dan cuba menjaringkan gol apabila memperolehi peluang."

Howe membimbing pasukan itu buat kali pertama selepas tidak dapat bersama pasukan ketika seri 3-3 dengan Brentford minggu lalu berikutan positif Covid-19.

"Momentum dalam bola sepak sangat penting. Kami perlu mencatat kemenangan secepat mungkin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 November 2021 @ 7:10 AM