SESI latihan Melaka United. -FOTO MU.
SESI latihan Melaka United. -FOTO MU.
Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka: Pemain pertahanan Melaka United (MU) Akmal Zahir tekad kental untuk memastikan misi mara ke final Piala Malaysia mampu direalisasikan.

Baginya, 90 minit aksi berdepan KL City pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Hang Jebat malam ini amat bernilai dan akan digunakan sebaik mungkin untuk mengekalkan kelebihan jaringan di gelanggang lawan pada pusingan pertama di Cheras.

Katanya, misi utama untuk mengelak sebarang gol lawan dalam masa sama turut bersedia menghadapi sebarang kemungkinan penentuan ke masa tambahan atau penalti.

Menurutnya, apa yang jelas Melaka memiliki kelebihan yang perlu dipertahankan sehingga ke wisel penamat.

"Saya juga seperti rakan dan peminat yang mahu membawa pasukan mara ke final dan menjuarai Piala Malaysia kali ini kerana saya belum pernah merasai nikmat di pentas final piala berprestij terbabit.

"Kami akan berusaha habis -habisan dan iringan doa penyokong serta sokongan mereka di laman sendiri juga menjadi lonjakan moral buat semua pemain untuk memenuhi impian warga Melaka," katanya.

Sementara itu, jurulatih Melaka, Zainal Abidin Hassan berkata, inilah masa yang amat penting bagi pemain-pemain Melaka yang berkorban sepanjang Liga Malaysia pada musim ini untuk menampilkan perjuangan mara ke final.

"Malam ini mereka perlu terjemahkan pengorbanan mereka menerusi persembahan terbaik dengan menggandakan usaha yang lebih agresif kali ini.

"Kita mempunyai kelebihan bermain di tempat sendiri di depan penyokong sendiri, di sinilah kita harus mengambil kelebihan ini dan yang penting momentum dan disiplin permainan harus ditingkatkan untuk perlawanan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 November 2021 @ 12:33 PM