Kylian Mbappe (kanan) meledakkan gol pertama PSG. -FOTO EPA
Kylian Mbappe (kanan) meledakkan gol pertama PSG. -FOTO EPA
AFP

Manchester: Paris Saint-Germain berdepan laluan berbahaya dalam aksi pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara selepas Manchester City mengesahkan tempat selaku juara Kumpulan A dengan kemenangan 2-1 ke atas kelab Perancis itu.

Kylian Mbappe meletakkan PSG di depan lima minit selepas babak kedua di Etihad.

Namun tekanan yang dialami City akhirnya membuahkan hasil apabila jaringan Raheem Sterling dan Gabriel Jesus mengubah permainan untuk juara Inggeris itu.

Pengendali PSG, Mauricio Pochettino terpaksa menangkis soalan pada sidang media selepas perlawanan yang mengaitkannya dengan perpindahan ke Manchester untuk mengambil alih jawatan pengurus yang masih kosong.

"Pemain tahu situasi kami. Kami hidup dalam perniagaan dan khabar angin sentiasa ada. Ada kalanya positif dan ada kalanya negatif," kata Pochettino mengenai spekulasi beliau akan menggantikan Ole Gunnar Solskjaer.

Tahun pertama pengendali dari Argentina itu di ibu kota Perancis tidak mudah walaupun skuadnya dibarisi bintang dan mereka kini mendahului Ligue 1 dengan kelebihan 11 mata.

Kehadiran Lionel Messi untuk bergandingan dengan Mbappe dan Neymar menyebabkan jangkaan semakin memuncak untuk Pochettino membawa mahkota Liga Juara-Juara ke Paris buat julung kalinya.

Namun kini mereka berdepan pasukan seperti juara bertahan Chelsea, Bayern Munich atau Liverpool pada peringkat kalah mati.

"Kami perlu memperbaiki corak permainan. Saya gembira dengan proses. Keadaan lebih baik daripada sebulan lalu dan jauh lebih baik dari dua bulan lalu. Sedikit demi sedikit pasukan akan menjadi lebih baik," kata Pochettino.

City pula mengesahkan kedudukan sebagai juara kumpulan dengan kelebihan empat mata ketika saingan berbaki satu perlawanan. PSG pula mara sebagai naib juara apabila RB Leipzig membelasah Club Brugge 5-0.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 8:05 AM