TUCHEL (tengah) turut memberi pujian kepada Kante yang beraksi cemerlang di atas padang. FOTO EPA
TUCHEL (tengah) turut memberi pujian kepada Kante yang beraksi cemerlang di atas padang. FOTO EPA
AFP

Leicester: Chelsea mencatat kemenangan 3-0 ke atas Leicester dengan dibantu oleh rembatan deras N'Golo Kante untuk membolehkan mereka berada di puncak liga dengan kelebihan empat mata.

Antonio Rudiger membuka jaringan dan rembatan jarak jauh Kante meletakkan Chelsea dalam keadaan selesa sebelum Christian Pulisic masuk sebagai pemain gantian seterusnya meledak gol ketiga pada separuh masa kedua.

Pasukan bimbingan Thomas Tuchel belum pernah kalah dalam sembilan perlawanan terakhir bagi semua kejohanan.

Ia kemenangan pembakar semangat buat Chelsea sebelum berdepan minggu genting apabila mereka akan menentang Juventus Rabu ini sebelum menanti kunjungan Manchester United di Stamford Bridge pada 29 November.

"Ia aksi yang mantap di tempat lawan, keputusan cemerlang. Kami mencipta banyak peluang.

"Kami sedar bahawa kami harus sentiasa kuat dari minit pertama hingga akhir. Itulah yang kami lakukan.

"N'Golo sangat luar biasa. Dia sangat selesa di atas padang, apabila dia beraksi tanpa sebarang gangguan ia memang berbeza," kata Tuchel.

Liverpool merapatkan jurang empat mata dengan The Blues selepas menumpaskan Arsenal 4-0.

Ketika penyerang Belgium, Romelu Lukaku diharap dapat kembali dalam masa terdekat selepas sembuh kecederaan buku lali dan Timo Werner sudah berada di bangku simpanan, Chelsea berada dalam keadaan baik untuk mengukuhkan kedudukan mereka di tangga teratas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 November 2021 @ 8:58 AM