Penyokong KL City FC menceroboh padang meraikan kemenangan menewaskan Selangor FC. FOTO Hazreen Mohamad
Penyokong KL City FC menceroboh padang meraikan kemenangan menewaskan Selangor FC. FOTO Hazreen Mohamad
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pengendali Kuala Lumpur City FC (KL City), Bojan Hodak berharap pasukannya tidak dikenakan apa-apa tindakan daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) susulan kekecohan penonton di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi.

Dalam insiden itu, penyokong tegar skuad 'The City Boys' menceroboh masuk ke dalam padang sebaik wisel penamat ditiupkan pengadil perlawanan yang menyaksikan tuan rumah mara ke separuh akhir Piala Malaysia selepas 29 tahun.

Kemenangan ke atas Selangor FC di peringkat suku akhir itu cukup manis hingga sebahagian besar penyokong bertindak masuk ke padang bagi meraikan kejayaan itu bersama pemain-pemain KL City.

"Anda kena faham bola sepak penuh dengan emosi dan kita tak boleh halang emosi penyokong. Mungkin apa yang dilakukan penyokong memang salah tapi kita juga kena faham ia berkaitan emosi.

"Suasana ini lebih baik daripada stadium tiada penyokong selepas hampir sekian lama," katanya merujuk kepada kehadiran penyokong KL City yang kembali memenuhi stadium selepas dua dekad beraksi tanpa sokongan padu penyokong mereka.

Untuk rekod, insiden ini adalah yang kedua selepas 'pencerobohan' yang dilakukan penyokong Terengganu FC (FC) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebelum ini.

Tindakan tegas dijangka bakal dikenakan kepada KL City kerana penganjuran Liga Malaysia (Liga M) masih tertakluk dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat susulan kes pandemik Covis-19 yang masih belum reda ketika ini.Ditanya kepada Hodak adakah bimbang kemungkinan pemainnya berisiko dijangkiti Covid-19 selepas ada sebahagian penyokong yang memeluk pemainnya, beliau mengakui tidak bimbang.Sebaliknya, jurulatih dari Croatia itu mahu pengurusan kelab mengetatkan lagi kawalan keselamatan untuk aksi berikutnya agar insiden sama tidak berulang. "Cuma kami perlu mengetatkan kawalan disebabkan semua orang terkejut (menewaskan Selangor di suku akhir) dan ia tidak dijangka penyokong kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 November 2021 @ 7:36 PM