GRIEZMANN peledak berbisa Atletico.
GRIEZMANN peledak berbisa Atletico.
AFP

Madrid: Antoine Griezmann terlepas aksi menentang AC Milan dalam saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara minggu depan susulan digantung dua perlawanan sebelum ini oleh Uefa, menurut sumber kelab kepada AFP.

Griezmann dibuang padang ketika Atletico tewas 2-3 kepada Liverpool di tempat sendiri bulan lalu dan selepas tersisih menentang Reds dalam perlawanan timbal balik di Anfield pada 4 November, kelibat bintang Perancis itu tidak dapat disaksikan ketika menentang Milan minggu depan.

Atletico kini berusaha memintas Porto dalam perebutan tempat kedua dalam Kumpulan B. Liverpool mengesahkan kemaraan lebih awal sebagai pendahulu kumpulan dengan Porto satu mata mengatasi Atletico manakala Milan tercorot.

Porto berkunjung ke Anfield minggu depan sebelum menerima kedatangan Atletico di Portugal pada aksi terakhir.

Griezmann boleh beraksi perlawanan terakhir tetapi ketiadaannya ketika menentang Milan menjejaskan jentera depan kelab Sepanyol itu.

Dia yang menyertai semula Atletico dari Barcelona secara pinjaman pada musim panas meledak lima gol dalam enam perlawanan terakhir termasuk dua jaringan ketika tewas kepada Liverpool di Wanda Metropolitano namun dibuang padang selepas kakinya terkena kepala Roberto Firmino.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 November 2021 @ 7:46 AM