GANDINGAN berbisa Tchetche (kiri) dan Sherman diharapkan skuad KDA FC pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia menentang JDT di Stadium Sultan Ibrahim malam esok. FOTO Ihsan KDA FC
GANDINGAN berbisa Tchetche (kiri) dan Sherman diharapkan skuad KDA FC pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia menentang JDT di Stadium Sultan Ibrahim malam esok. FOTO Ihsan KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar: Khidmat penyerang Kipre Tchetche jelas ditagih skuad Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada aksi suku akhir kedua menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim malam esok yang bakal menentukan 'hidup mati' perjuangan skuad Hijau Kuning di pentas Piala Malaysia musim ini.

Tchetche yang meledak 10 jaringan gol buat Kedah pada aksi Liga Super musim ini, terlepas peluang bersama skuad kendalian Aidil Sharin Sahak pada perlawanan Ahad lalu selepas mengalami kecederaan tendon dan terpaksa direhatkan.

Menurut maklumat, Tchetche direhatkan pada aksi berkenaan sebagai tidak mengambil risiko bagi memastikan tahap kecergasannya segera kembali pulih.

Namun jika kembalinya dia bersama pasukan pada aksi kali ini, sudah pasti akan menambah 'bisa' di bahagian serangan dalam gandingan mantap bersama Kpah Sherman yang boleh mengucar kacirkan pertahanan lawan setiap kali mereka digandingkan bersama.

Malah pada perlawanan Ahad lalu, Kedah turut terpaksa bekerja lebih keras di posisi tengah selepas ketiadaan dua tonggak import iaitu Rabih Ataya dan M Anumanthan yang kini bersama skuad kebangsaan negara masing-masing di peringkat antarabangsa.

Menurut Ketua Jurulatih KDA FC Aidil Sharin Sahak, beliau sangat berharap Tchetche segera kembali pulih ke tahap kecergasan terbaik sebelum aksi penting esok.

"Tchetche diharap dapat kembali beraksi bersama pasukan pada perlawanan ini kerana saya tidak mahu memberi risiko untuk dia beraksi sebelum ini, di mana dia dapat membantu pasukan dengan gandingan bersama Sherman di bahagian jentera serangan.

"Ada kemungkinan dia akan kembali beraksi dan dengan motivasi serta komitmen dari keseluruhan pasukan, saya berharap Kipre dapat kembali beraksi." katanya.

Menyentuh mengenai perlawanan malam esok, Aidil turut mengharapkan skuadnya mampu melakukan kejutan berhadapan JDT pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, Johor malam esok.

"Walaupun tanpa membawa bekalan jaringan pada aksi pertama di Darul Aman, namun motivasi semua pemain kekal kukuh dan tidak luntur malah mereka bertambah semangat untuk melakar keputusan yang disasarkan apabila bertemu skuad Harimau Selatan." katanya.

Berbekalkan kedudukan tanpa bolos selepas perlawanan suku akhir pertama yang berkesudahan dengan keputusan seri tanpa jaringan di Stadium Darul Aman Ahad lalu, sebarang jaringan gol akan turut memberi sedikit kelebihan buat skuad kendalian Aidil Sharin Sahak dalam memburu slot ke separuh akhir musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 November 2021 @ 5:29 PM