Thiago Alcantara. FOTO Agensi
Thiago Alcantara. FOTO Agensi
Agensi

Madrid: Bos baharu Barcelona, Xavi dilaporkan berminat membawa pemain tengah Liverpool, Thiago Alcantara kembali ke Camp Nou.

Pemain kebangsaan Sepanyol itu mewakili kelab gergasi Catalan berkenaan antara 2005 dan 2013, bakatnya dicungkil daripada program remaja di kelab berkenaan sebelum melakukan 101 penampilan dalam skuad utama.

Thiago kemudian beraksi di Jerman bersama Bayern Munich selama tujuh tahun sebelum menyertai Liverpool pada September 2020, tetapi dia didapati sukar menampilkan aksi terbaik bersama skuad Reds.

Menurut laporan media Sepanyol, Xavi mahu membawa Alcantara kembali ke Camp Nou dalam usahanya memperkuatkan barisan tengah pasukan pada tahun depan.

Thiago bergelut dengan kecederaan betis pada awal kempen 2021-22 sehingga menjejaskan aksinya dengan hanya lima penampilan di Liga Perdana Inggeris.

Secara keseluruhan, pemain berusia 30 tahun itu melakukan 37 penampilan buat Liverpool sejak ketibaannya, meledak satu gol dan menghasilkan satu bantuan jaringan dalam tempoh berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 November 2021 @ 8:12 PM