REAKSI Di Maria selepas menjaringkan gol. FOTO AFP
REAKSI Di Maria selepas menjaringkan gol. FOTO AFP
AFP

Montevideo: Gol tunggal Angel Di Maria menyaksikan Argentina semakin hampir layak ke Piala Dunia tahun depan di Qatar selepas menewaskan Uruguay 1-0 di tempat lawan hari ini ketika Lionel Messi bermula di bangku simpanan.

Messi hanya dimasukkan sebagai pemain gantian oleh jurulatih Lionel Scaloni 15 minit sebelum tamat perlawanan.

Dia baru pulih daripada kecederaan lutut dan hamstring yang menyaksikannya terlepas beraksi dua perlawanan terakhir Paris Saint-Germain (PSG).

Keputusan itu bermakna Argentina yang tidak tewas sepanjang 26 perlawanan, akan mengesahkan tiket ke Piala Dunia jika mereka menewaskan Brazil, Rabu ini dan Colombia, Chile atau Uruguay gagal mencatatkan kemenangan.

"Pasukan ini mempunyai keberanian dan apabila anda tidak beraksi dengan baik, anda masih perlu memenangi perlawanan," kata penjaga gol Argentina, Emiliano Martinez.

"Kemenangan hari ini adalah pencapaian yang hebat. Kami berhak meraih kemenangan kerana kami bekerja keras."

Kekalahan itu menyaksikan Uruguay berada pada kedudukan aksi playoff di belakang Colombia dan Chile yang berada di dua kedudukan terakhir layak secara automatik ke Piala Dunia.

Di Maria menjaringkan gol seawal minit ke-7 dan Argentina mempertahankan kedudukan itu sehingga tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 November 2021 @ 10:22 AM