RONALDO menyerahkan jersi miliknya kepada kanak-kanak wanita. FOTO AFP
RONALDO menyerahkan jersi miliknya kepada kanak-kanak wanita. FOTO AFP
Agensi

Dublin: Cristiano Ronaldo gagal mencetak gol ketika Portugal seri 0-0 dengan Ireland awal pagi tadi namun dia masih dilihat sebagai seorang wira apabila menghadiahkan jersi dipakainya kepada seorang penyokong.

Bintang Manchester United itu terlepas beberapa peluang keemasan untuk menjaringkan gol pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Aviva.

Dia juga terpaksa berdepan situasi penyokong yang menceroboh masuk ke padang untuk bertemunya ketika perlawanan sedang berlangsung.

Ronaldo dilihat terkejut apabila seorang lelaki berlari ke arahnya sebelum ditahan oleh pihak keselamatan.

Bagaimanapun seorang kanak-kanak wanita bertuah kerana berjaya memeluk Ronaldo selepas tamat perlawanan selain mendapat hadiah jersi yang dipakai oleh bintang bola sepak itu.

Kanak-kanak itu yang turut menceroboh masuk ke padang, dilihat menangis selepas pihak keselamatan menghalangnya daripada mendekati Ronaldo.

Namun Ronaldo menawan hati penyokong di stadium apabila membuka bajunya bernombor tujuh dan memberikannya kepada kanak-kanak wanita itu.

Tindakan Ronaldo itu mendapat pujian penyokong yang memenuhi stadium.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 November 2021 @ 8:59 AM