SAIFUDDIN mengesahkan didapati hanya seorang pegawai positif manakala yang lain termasuk jurulatih dan pemain didapati negatif. FOTO Bernama
SAIFUDDIN mengesahkan didapati hanya seorang pegawai positif manakala yang lain termasuk jurulatih dan pemain didapati negatif. FOTO Bernama
Firdaus Hashim


Petaling Jaya: Seorang pegawai skuad bawah 23 (B-23) tahun negara yang baharu pulang daripada Kelayakan Piala Asia B-23 di Mongolia hujung bulan lalu disahkan positif Covid-19.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Saifuddin Abu Bakar selepas saringan Polimerase-Transkripsi Terbalik (RT-PCR) kali kedua dilakukan pada 5 September lalu.

Katanya, menerusi saringan kedua itu, didapati hanya seorang pegawai positif manakala yang lain termasuk jurulatih dan pemain didapati negatif.

"Bagi pegawai B-23 yang sedang menjalani kuarintin, salah seorang didapati positif selepas pemeriksaan kedua ataupun PCR kedua, dan dia sudah dipindahkan daripada hotel penginapan pasukan ke pusat Covid-19 yang juga seperti hotel.

"Sekarang dia berada di sana dan setakat ini, selain daripada pegawai itu, pemain-pemain serta pegawai yang lain Alhamdulillah sihat," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran jam tangan edisi terhad kedua antara FAM dan G-Shock di Wisma FAM, di sini, hari ini.

Jelasnya lagi, keadaan pegawai terbabit sihat dan tidak menunjukkan apa-apa masalah kesihatan yang kronik.

"Keadaan tidak membimbangkan sebab mereka tidak lagi keluar daripada bilik dan masing-masing ada dalam bilik masing-masing, tidak ada mencampuri antara satu sama yang lain," katanya.

Ujarnya lagi, semua pemain dan pegawai akan terus dikuarintin dan hanya akan dibenarkan pulang selepas Ahad ini.

"PCR kedua dibuat pada 5 September, buat PCR pada hari kelima dan patutnya dah boleh keluar pada hari ke tujuh (7 September) mengikut ketetapan ialah tujuh hari.

"Tapi sekarang ini kena sambung dari hari ketujuh sehingga tujuh hari lagi, lebih kurang dalam 14 September ini kalau tak silap saya."

Skuad negara kendalian Brad Maloney berjaya menempah tiket ke pusingan akhir Piala Asia tahun depan selepas berjaya menamatkan saingan kelayakan Kumpulan J sebagai juara kumpulan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 November 2021 @ 10:48 PM