SKUAD B-23 negara meraikan kejayaan mara ke Uzbekistan. FOTO FAM
SKUAD B-23 negara meraikan kejayaan mara ke Uzbekistan. FOTO FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Melihatkan persembahan skuad bawah 23 (B-23) dalam peringkat kelayakan Piala Asia B-23 di Mongolia sepanjang minggu lalu, corak permainan pasukan muda negara dilihat amat berkualiti seolah melihat pasukan Jepun sedang beraksi.

Bukan sekadar pantas ketika menyerang dan bertahan, skuad kendalian Brad Maloney juga mengamalkan sistem permainan efektif bermula dengan gerakan dari bawah, mengamalkan 'high pressing' dan serangan bervariasi adalah antara identiti permainan pasukan ini.

Ia sebenarnya jauh sekali dengan corak permainan lama yang sering diperagakan pasukan kebangsaan di mana tiada lagi hantaran bola jauh tanpa tujuan, lewat dalam membuat keputusan ketika menyerang mahupun bertahan, lebih gemar mengamalkan corak bertahan serta sering melakukan kesilapan mudah ketika beraksi.

Justeru, apa yang dipamerkan skuad B-23 negara itu harus dikekalkan dan dipertahankan atau dalam bahasa lebih mudah dijadikan DNA baharu bola sepak negara.

Ini penting kerana ketika kebanyakan negara sudah menerapkan permainan bola sepak moden, skuad Harimau Malaya masih lagi berada pada takuk lama dengan mengganggap Piala AFF adalah kemuncak prestasi.

Apa yang dilakukan skuad B-23 juga sebenarnya boleh dilakukan dengan semua pemain khususnya tonggak senior meletakkan sekurang-kurangnya Piala Asia sebagai sasaran utama dalam kerjaya mereka.

Apabila mentaliti itu mampu diubah, secara tidak langsung 'budaya' permainan juga akan berubah dengan jurulatih bertindak selaku pembimbing untuk menguasai standard bola sepak moden yang sebenar.

Berdasarkan statistik perlawanan skuad muda negara di kelayakan Piala Asia B-23 itu, anak buah Maloney nyata menguasai hampir 70 peratus penguasaan bola dalam ketiga-tiga aksi ketika membenam Laos dan Mongolia dengan 1-0 serta terikat seri tanpa jaringan dengan Thailand.

Meskipun jentera serangan agak tumpul, kemantapan benteng pertahanan serta kelancaran gerakan ketika menyerang jelas membuatkan lawan 'mati kutu' untuk memecah bahagian tengah pasukan.

Jentera serangan skuad negara sebenarnya mampu tampil lebih ampuh di Uzbekistan tahun depan seandainya Maloney diberi kebebasan dan kerjasama dalam menghimpunkan pemain impiannya nanti.

Terdapat sekurang-kurangnya enam lagi pemain B-23 yang tidak disenaraikan di Mongolia boleh menambah kekuatan pasukan negara di pusingan akhir tahun depan.

Antara pemain itu adalah bintang muda sensasi Johor Darul Ta'zim (JDT) iaitu Akhyar Rasyid, Ramadhan Saifullah, Arif Aiman dan bekas pemain Wolverhampton Wanderers di Liga Perdana Inggeris, Hong Wan.

Dua lagi penjaring muda terbanyak Selangor FC, Danial Asri serta pemain tengah yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Wan Kuzri Wan Kamal dilihat mampu mengukuhkan lagi kekuatan skuad B-23 negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 November 2021 @ 9:04 PM