DOLLAH  dan Ahmad Yusoff rangka strategi ampuh untuk berdepan Penang FC esok. FOTO Owee Ah Chun
DOLLAH dan Ahmad Yusoff rangka strategi ampuh untuk berdepan Penang FC esok. FOTO Owee Ah Chun
Asrol Awang


Kuantan: Pengendali Sri Pahang FC, Dollah Salleh percaya skuad itu mampu bangkit daripada dua kekalahan sebelum ini apabila melayan kunjungan Penang FC di Stadium Darul Makmur, malam esok.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, dua kekalahan di tangan Kuala Lumpur (KL) City FC dan Sarawak United sudah dilupakan anak buahnya dalam misi mencatat kemenangan pertama saingan Piala Malaysia musim ini.

"Dengan komitmen tinggi yang dipersembahkan pemain pada sesi latihan dan dua perlawanan persahabatan, banyak perubahan dapat dilihat. Saya percaya dengan semangat baru dan rehat panjang membantu memperbaiki segala kelemahan terutama di bahagian serangan.

"Fokus utama ialah untuk memastikan jentera serangan lebih padu untuk memberi tekanan kepada pemain Penang FC kerana Sri Pahang masih berpeluang untuk merebut tempat ke suku akhir piala berprestij itu.

"Apa yang perlu dilakukan pemain ialah untuk memastikan aksi di tempat sendiri berakhir dengan tiga mata menjadi milik Sri Pahang," katanya.

Pada masa sama, beliau percaya dengan kembalinya penyokong ke stadium menambah lagi semangat kepada anak buahnya bermain dengan lebih baik.

Katanya, segala yang dilakukan ketika latihan diharap dapat diterjemahkan dengan keputusan positif terutama persefahaman yang lebih mantap.

"Sri Pahang masih lagi berpeluang dan harapan saya ialah semua pemain dapat mengikut apa yang dirancang dan memanfaatkan segala peluang yang dimiliki," katanya.

Di peringkat Kumpulan A, Sarawak United mengutip enam mata, diikuti KL City (empat), Penang FC (satu) dan Sri Pahang tanpa sebarang mata selepas tewas dalam dua perlawanan.

Bagaimanapun, peluang skuad Tok Gajah dan tiga lagi pasukan masih lagi terbuka untuk melayakkan mereka ke suku akhir Piala Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Oktober 2021 @ 10:03 PM