PEMAIN Sri Pahang FC dan Kelantan United berentap dalam aksi persahabatan di Stadium Darul Makmur pada 16 Oktober. FOTO FB Sri Pahang FC
PEMAIN Sri Pahang FC dan Kelantan United berentap dalam aksi persahabatan di Stadium Darul Makmur pada 16 Oktober. FOTO FB Sri Pahang FC
Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my


Kuantan: Aksi di laman sendiri perlu dimanfaatkan sepenuhnya Sri Pahang FC apabila melayan kunjungan Penang FC di Stadium Darul Makmur, Sabtu ini.

Pengurus pasukan, Datuk Che Nasir Salleh berkata, ini kerana ia peluang terbaik bagi menebus kekecewaan selepas tewas di tangan Kuala Lumpur (KL) City FC dan Sarawak United.

"Saya harap semua pemain dapat mempamerkan prestasi terbaik seperti dipersembahkan pada sesi latihan dan dua aksi persahabatan ketika saingan Piala Malaysia berehat.

"Aksi dan komitmen mereka diharap dapat dipersembahkan pada perlawanan ketiga peringkat kumpulan dengan mencatat kemenangan ke atas Penang FC.

"Sabtu ini, Sri Pahang tidak boleh tewas atau seri jika mahu memberi cabaran kepada tiga pasukan lain untuk layak beraksi di suku akhir piala berprestij ini. Tiada yang mustahil walaupun mengalami dua kekalahan sebelum ini tetapi segalanya boleh dilakukan pemain jika mereka mempamerkan semangat juang tinggi dan kekal fokus sepanjang 90 minit perlawanan," katanya.

Ditanya kehadiran penyokong ke stadium, Che Nasir percaya sokongan padu yang akan diberikan peminat skuad Tok gajah mampu memberi motivasi kepada pemain. Justeru, katanya, semua pemain diharap dapat beraksi pada tahap terbaik dan mengikut arahan yang diberikan ketua jurulatih, Dollah Salleh.

"Ketika ini, peluang masih lagi terbuka dan apa yang perlu dilakukan pemain ialah mencatatkan kemenangan ke atas Penang FC," katanya.

Dalam Kumpulan A, Sarawak United mengutip enam mata, diikuti KL City (empat), Penang FC (satu) dan Sri Pahang tanpa sebarang mata selepas tewas dalam dua perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 9:56 PM