AZFAR muncul wira ketika menentang Laos dan Mongolia.
AZFAR muncul wira ketika menentang Laos dan Mongolia.
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Meledak dua gol selepas dua perlawanan jelas menunjukkan bisa sebenar penyerang skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar.

Selepas menjaringkan gol pertama di pentas antarabangsa ketika melakar kemenangan 1-0 ke atas Laos pada perlawanan pertama Kumpulan J Kelayakan Piala Asia B-23, dia mengulanginya apabila gol tunggalnya memastikan Malaysia berjaya menewaskan Mongolia, hari ini.

Bagaimanapun, penyerang Terengganu FC II itu tidak mahu pujian terarah kepada dirinya sendiri, sebaliknya dia mengakui jaringannya itu hasil kerjasama rakan sepasukan.

"Rakan sepasukan sangat bekerja keras dan bermain dengan baik sekali. Kami sentiasa bersaing untuk menguasai bola dan akhirnya meraih keputusan yang dimahukan.

"Untuk saya, sudah tentu sangat gembira kerana dapat membantu pasukan meraih tiga mata penuh. Terima kasih kepada semua yang sentiasa memberi kata-kata semangat terutama di media sosial.

"Alhamdulillah kami sekali lagi capai kemenangan hari ini dan harap pada perlawanan seterusnya kami dapat melakukan yang lebih baik lagi," katanya.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium MFF, Ulaanbaatar di Mongolia, Azfar menjaringkan gol tunggal skuad negara selepas menanduk masuk bola berpunca daripada sepakan penjuru minit ke-40.

Sebelum itu, cubaannya pada minit ke-37, juga berpunca daripada sepakan penjuru terkena palang gol lawan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 7:56 PM