OLE Gunnar Solskjaer. FOTO EPA
OLE Gunnar Solskjaer. FOTO EPA
Agensi

London: Manchester United terpaksa membayar Ole Gunnar Solskjaer sebanyak £7.5 juta (RM42.8 juta) jika kelab itu mahu memecatnya.

Pengurus United itu berdepan tekanan hebat untuk menyelamatkan jawatannya selepas skuad bimbingannya meraih keputusan teruk sejak kebelakangan ini.

Mereka dibelasah 0-5 di tempat sendiri oleh seteru utama, Liverpool dan gagal meraih kemenangan pada saingan liga dalam empat perlawanan terakhir.

Terdapat desakan meminta Solskjaer dipecat daripada dalam dan di luar kelab. Ahli lembaga pengarah di Old Trafford difahamkan mempunyai pendapat yang berbeza mengenai masa depan Solskjaer.

SunSport difahamkan beliau mungkin akan diberikan gaji selama setahun sebagai pakej pemberhentian oleh kelab.

Ia membabitkan sejumlah RM42.8 juta sekali gus meletakkannya di tangga kelima pengurus yang menerima gaji tertinggi di Liga Perdana.

Dia berada di belakang Pep Guardiola, Jurgen Klopp, Brendan Rodgers dan Marcelo Bielsa.

Meskipun menerima desakan hebat untuk dipecat, Solskjaer dijangka akan terus membimbing United untuk perlawanan minggu ini bertemu Tottenham.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Oktober 2021 @ 9:56 PM