Lee Tuck (tengah) menjalani latihan menjelang aksi menentang Perak FC Sabtu ini. FOTO TFC
Lee Tuck (tengah) menjalani latihan menjelang aksi menentang Perak FC Sabtu ini. FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Arkitek Terengganu FC (TFC), Lee Tuck mahu melakar sejarah kedua membantu pasukannya layak ke pentas final Piala Malaysia musim ini sebelum kembali ke pangkuan pasukannya, Sri Pahang FC musim depan.

Pemain berdarah kacukan England-Malaysia yang diberi julukan 'Rooney Ganu' itu menyertai TFC ketika jendela kedua perpindahan pemain pada Mei lalu secara pinjaman daripada Sri Pahang.

Bagi memastikan impiannya tercapai, bekas pemain TFC bermula 2018 hingga 2020 sebelum dilepaskan awal musim ini tekad untuk meneruskan rentak kemenangan ketiga berturut-turut bertemu Perak FC pada Sabtu ini di Stadium Perak, Ipoh.

"Kami perlu meneruskan rentak kemenangan bertemu Perak FC bagi mengintai peluang lebih awal melepasi peringkat Kumpulan B apatah lagi kami kini berada pada landasan terbaik untuk melangkah selepas menghuni di tangga teratas.

"Impian saya juga sudah tentu untuk membantu pasukan mara lebih jauh dalam saingan piala berprestij di Malaysia iaitu melayakkan diri ke pentas final sebagaimana musim 2018, memori ditewaskan Perak FC pada pentas final Piala Malaysia empat tahun lalu masih lagi diingati.

"Jadi kami perlu memandang ke hadapan dengan fokus dan tidak melepaskan peluang untuk merakam kemenangan dalam baki empat perlawanan lagi walaupun kami tahu kita bercuti agak panjang." katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Oktober 2021 @ 1:24 PM