GAYA Salah ketika meledak gol kelima Liverpool di Old Trafford. FOTO AFP
GAYA Salah ketika meledak gol kelima Liverpool di Old Trafford. FOTO AFP
Agensi

London: Mohamed Salah mahu menikmati gaji lumayan £500,000 (RM2.85 juta) seminggu untuk terus kekal di Liverpool, menurut laporan media hari ini.

Penyerang sensasi Mesir itu meningkatkan tekanan ke atas pemilik Fenway Sports Group (FSG) minggu lalu dengan menegaskan dia mahu menamatkan kariernya di Anfield.

FSG yang berpangkalan di Amerika Syarikat menyedari mereka bukan hanya bakal menjadikan Salah, 29, pemain bergaji paling banyak dalam sejarah kelab malah antara yang berpendapatan paling tinggi di dunia.

Dipercayai wakil Salah, Ramy Abbas mahu kontrak £500,000 seminggu untuk penyerang itu dan dia membayangkan berhak mendapat apa yang dihajatinya menerusi jaringan hatrik ketika membelasah Man United 5-0 pada Ahad lalu.

Ia perlawanan ke-10 berturut-turut menyaksikan Salah menembusi gawang lawan untuk jumlah keseluruhan 15 jaringan dalam 12 perlawanan.

Tumpuan kini terarah ke Boston untuk melihat sejauh mana kesanggupan mereka mengekalkan Salah yang dianggap pengendali, Jurgen Klopp pemain terbaik di dunia.

Rundingan di antara Liverpool dan bintang Mesir itu masih berjalan dengan kontrak sekarang tamat 2023.

Awal tahun ini, Liverpool bersetuju melanjutkan kontrak rakan sepasukan Salah seperti Virgil van Dijk, Alisson Becker, Jordan Henderson, Fabinho, Trent Alexander-Arnold dan Andrew Robertson.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Oktober 2021 @ 5:16 PM