Penyerang Dortmund, Erling Braut Haaland dalam salah satu aksi Bundesliga. FOTO AFP
Penyerang Dortmund, Erling Braut Haaland dalam salah satu aksi Bundesliga. FOTO AFP
Agensi

Berlin: Marco Rose menegaskan Borussia Dortmund tidak akan merungut tanpa ketiadaan tonggak bahagian serangan mereka, Erling Braut Haaland berikutan kecederaan.

Penyerang kebangsaan Norway berusia 21 tahun itu disahkan tidak dapat beraksi dalam tempoh beberapa minggu kerana mengalami kecederaan pinggul.

Rose menyifatkan ketiadaan pemain tinggi lampai itu tidak dirasai ketika Dortmund yang menduduki tempat kedua carta Bundesliga melakar kemenangan 3-1 ke atas Armenia Bielefeld, Sabtu lalu.

Dortmund dijadual melayang kunjungan Ingolstadt bagi saingan DFB-Pokal awal pagi esok namun Haaland tetap menjadi topik utama dalam sidang media pra-perlawanan.

"Erling seorang pemain penting dan semestinya kehadirannya amat diperlukan," kata Rose.

"Saya pernah berkata sebelum ini bahawa kami perlu mencipta semula diri kami ketika ketiadaannya. Namun kami tidak perlu berbuat demikian sebanyak itu. Kami tidak akan bermula dari awal lagi.

"Kami mungkin tidak mempunyai fizikal Erling buat masa sekarang, tetapi kami mempunyai beberapa pemain lain. Di Bielefeld, kami bermain dengan tiga penyerang dan mempunyai idea berbeza.

"Kami tidak sepatutnya merungut mengenai ketiadaan penyerang itu sebaliknya mencari jalan penyelesaian terbaik."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Oktober 2021 @ 12:49 PM