AZFAR (tengah) meraikan jaringan kemenangan skuad negara. FOTO FAM
AZFAR (tengah) meraikan jaringan kemenangan skuad negara. FOTO FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pengendali skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, Brad Maloney lega percaturan memasukkan tiga pemain gantian pada pertengahan babak kedua berjaya membantu pasukan meraih tiga mata berharga.

Dalam aksi sulung kelayakan Piala Asia B-23 di Stadium MFF, Ulaanbaatar, Mongolia petang tadi, skuad negara berjaya menundukkan Laos 1-0 untuk memimpin Kumpulan J.

Jelas Maloney, skuad kendaliannya dilihat agak sukar untuk menembusi kubu Laos yang mengamalkan corak pertahanan kental sepanjang 45 minit babak pertama. Bagaimanapun, impak tiga pemain baharu yang dimasukkan iaitu Hairiey Hakim, Quentin Cheng dan Hakimi Abdullah pada minit ke-65 dilihat berjaya menambah sengat di jentera depan pasukan negara yang diketuai Luqman Hakim Shamsudin dan Azfar Fikri Azhar.

"Seperti kami jangkakan, aksi yang sukar dari Laos, di mana mereka sememangnya pencabar kuat. Kami memiliki banyak peluang tapi hanya berjaya meraih satu gol. Kami melakukan apa yang kami mampu, corak permainan kami tidak banyak berubah, cuma pada babak kedua kami lakukan beberapa pertukaran pemain.

"Sumbangan mereka cukup bagus dan akhirnya gol berjaya diraih hasil bantuan gol daripada pemain gantian dan saya gembira dengan situasi itu, apabila kemasukan pemain gantian memberi impak," katanya sejurus tamat aksi itu.

Gol sulung negara disumbangkan Azfar selang tiga minit selepas tiga pemain gantian itu dimasukkan dengan pemain Terengganu FC II itu mudah menolak masuk hantaran cantik Quentin.

Selepas ini, skuad negara akan turun menentang Mongolia di venue sama Khamis ini dengan tiga mata bakal mencerahkan peluang pasukan untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia B-23 di Uzbekistan tahun depan.

Dalam aksi terdahulu, Mongolia dan Thailand sekadar terikat 1-1 dan masing-masing ketika ini berada di belakang Malaysia dalam dengan satu mata.

Sementara itu, Azfar berkata, dia gembira dapat membantu pasukan negara melakar kemenangan pertama dalam kumpulan itu.

Katanya, ini pengalaman pertamanya menyarung jersi negara di pentas antarabangsa yang berakhir dengan tuah apabila meledak gol pertama buat skuad kebangsaan.

"Saya sangat gembira, ini (gol) untuk pasukan dan juga peminat di Malaysia," kata penyerang Terengganu FC II itu yang turut dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan.

Jelasnya lagi, strategi berkesan jurulatih dan kesungguhan rakan sepasukan sepanjang perlawanan akhirnya berbayar dengan kemenangan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Oktober 2021 @ 9:06 PM