SKUAD B-23 negara bergambar sebelum menentang Laos. FOTO FAM
SKUAD B-23 negara bergambar sebelum menentang Laos. FOTO FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Skuad bawah 23 (B-23) tahun negara memulakan kempen Kelayakan Piala Asia B-23 dengan kemenangan 1-0 selepas berjaya menundukkan Laos di Stadium MFF, Ulaanbaatar di Mongolia, hari ini.

Kejayaan meraih tiga penuh itu meletakkan skuad negara di kedudukan teratas Kumpulan J selepas satu lagi aksi membabitkan Thailand dan Mongolia terikat 1-1 sekali gus kemenangan ke atas Laos itu bakal menyuntik motivasi pemain untuk aksi berikutnya.

Bagaimanapun, kemenangan dicapai itu bukan mudah apatah lagi Laos yang dibimbing pengendali dari Singapura, Selvaraj Vengasalam beraksi dengan cukup agresif dan berdisiplin sepanjang perlawanan pertama itu.

Skuad negara yang mempertaruhkan Luqman Hakim Shamsudin di bahagian depan memiliki hampir tiga peluang keemasan untuk menjaringkan gol namun mudah dipatahkan pertahanan Laos.

Peluang paling hampir pada minit ke-35 apabila rembatan Luqman yang juga penyerang kelab KV Kortrijk di Liga Belgium itu sempat ditampan Solasak Thilavong, tindakan susulan sebelum Muhammad Azam Azmi turut menghampakan.

Pada babak kedua, pengendali negara Brad Maloney membuat tiga pertukaran serentak pada minit ke-65 dengan memasukkan Hairiey Hakim, Quentin Cheng dan Hakimi Abdullah bagi menambah sengat di bahagian depan.

Percaturan Maloney membuahkan hasil apabila Quentin yang juga tonggak senior skuad Harimau Malaya bijak melorongkan bola yang kemudiannya tepat menemui Azfar Fikri Azhar untuk meraih gol pertama pada minit ke-68.

Tempoh serangan skuad negara terus ditingkatkan bagi memburu gol kedua namun keputusan 1-0 itu kekal hingga wisel penamat.

Sementara itu, dalam satu lagi aksi menyaksikan Thailand dan Mongolia terikat 1-1 untuk kedua-dua hanya berpuas hati meraih satu mata.

Thailand terlebih dulu mendahului pada minit ke-10 hasil jaringan Jakkit Palapon sebelum tuan rumah bangkit menerusi Baljinnyam Batbold minit 76.

Selepas ini, Malaysia akan menentang Mongolia manakala Laos dijadual bertemu Thailand pada Khamis ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Oktober 2021 @ 5:08 PM