HAKIMI (kiri) mampu membantu pasukan mencari jaringan. FOTO AFP
HAKIMI (kiri) mampu membantu pasukan mencari jaringan. FOTO AFP
Susunan Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Pertahanan kanan Paris Saint-Germain, Achraf Hakimi bertindak cemerlang sejak akhir-akhir ini dengan meledak tiga gol dalam sembilan aksi Ligue 1 dan jika dia terus mempamerkan aksi mengagumkan sebegitu, dia mungkin boleh menjadi seorang daripada penjaring gol terbanyak dalam kalangan pemain pertahanan.

Mengetuai senarai penjaring gol terbanyak di bahagian pertahanan tidak lain dan tidak bukan ketua jurulatih Barcelona, Ronald Koeman, namun Hakimi masih terlalu jauh untuk menyamai pencapaiannya.

Dalam kalangan pemain yang aktif, sebenarnya rakan sepasukan Hakimi, Sergio Ramos berada di puncak dengan 127 gol setakat ini, meletakkannya selesa di depan Aleksandar Kolarov (62), Gerard Pique (60) dan Jan Vertonghen (55).

1. Ronald Koeman (253 gol)

Koeman bukan sekadar pemain pertahanan dan beliau memukau dengan rembatan padunya selain ketepatannya menerusi sepakan penalti. Beliau memegang rekod La Liga Sepanyol bagi penalti berturut-turut yang disempurnakan (25) dan melakukan 99 hantaran silang yang menjurus kepada gol sepanjang kariernya.

2. Daniel Passarella (175 gol)

Beliau turut beraksi di Itali tetapi paling diingati ketika bermain di River Plate, yang mana beliau menjadi salah seorang penjaring terbanyak kelab dengan 103 gol. Pemenang Piala Dunia dua kali itu sukar untuk ditandingi ketika perebutan bola di udara dengan Diego Maradona menyatakan beliau adalah yang terbaik pernah dilihatnya.

3. Fernando Hierro (163 gol)

Pemain berasal dari Andalusia ini memulakan kariernya sebagai pemain tengah tetapi beralih ke benteng pertahanan apabila di Real Madrid dengan kehebatan tandukan dan sepakan kencangnya membantu kelab itu menjulang trofi Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam tempoh 32 tahun. Beliau turut menjaringkan 30 gol buat Sepanyol, menjadikannya penjaring gol kelima terbanyak negaranya sepanjang zaman.

4. Laurent Blanc (152 gol)

Pemain Perancis itu diiktiraf sebagai seorang daripada pemain pertahanan terbaik sepanjang zaman, berbahaya ketika menggelecek bola dan juga sering mengancam pintu gol lawan. Beliau memenangi Piala Dunia dan Kejohanan Eropah bersama Perancis, yang mana beliau menjaringkan 16 gol dalam 97 perlawanan.

5. Graham Alexander (130 gol)

Bekas pemain kebangsaan Scotland itu menghabiskan seluruh kariernya di England, terutama sebagai pemain pertahanan kanan dan membina reputasi disegani sebagai pengambil sepakan penalti, meledak 57 gol menerusi penalti dalam kariernya.

Penjaga gol yang menjaringkan gol

Jika pemain pertahanan agak jarang sekali mempunyai reputasi sebagai penjaring gol, maka lebih lagi buat penjaga gol tetapi ada beberapa contoh yang ketara seperti Rogerio Ceni, bintang legenda Sao Paulo yang menjaringkan 130 gol dalam kariernya, sebahagian besarnya menerusi tendangan penalti dan sepakan percuma.

Turut patut diberi pujian Jose Luis Chilavert (62 gol), Johnny Vegas (45), Dimitar Ivankov (43), Rene Higuita (41) dan Jorge Campos (40).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Oktober 2021 @ 4:59 PM