PEMAIN skuad NSFC gembira ketika menjulang kejuaraan Liga Perdana musim ini. FOTO Ihsan NSFC
PEMAIN skuad NSFC gembira ketika menjulang kejuaraan Liga Perdana musim ini. FOTO Ihsan NSFC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Pengurusan pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC) menafikan berlaku pelanggaran gelembung sukan sehingga menyebabkan seramai 24 pegawai dan pemain pasukan itu disahkan positif Covid-19.

Pengurus Besar NSFC, Firdaus Bhari berkata, NSFC sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan sepanjang latihan dan aksi persahabatan.

"Kami (NSFC) sentiasa memberi penekanan dan mengguna pakai gelembung sukan yang ditetapkan dan daripada siasatan tiada mana-mana pegawai dan pemain yang dikesan melanggar peraturan itu.

"Kami tidak mengetahui bagaimana wabak itu boleh menjangkiti pasukan ketika segala SOP sentiasa dipatuhi.

"Justeru itu, kami tidak bercadang melakukan siasatan lanjut," katanya di sini, hari ini.

Terdahulu media melaporkan, cabaran NSFC dalam Piala Malaysia musim ini terhenti selepas pasukan itu menarik diri daripada saingan berkenaan susulan seramai 24 pegawai dan pemain pasukan disahkan positif wabak pandemik itu pada 18 Oktober lalu.

Kesemua mereka yang terbabit kini masih dalam kuarantin di rumah selama 10 hari dengan pemantauan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Firdaus berkata, fokus pihaknya ketika ini adalah untuk memastikan setiap pemain dan pegawai yang dijangkiti itu dapat kembali pulih.

Beliau berkata, baki pegawai dan pemain yang tidak dijangkiti Covid-19 telah melakukan ujian saringan Transkripsi Balikan-Tindak balas Berangkai Polimerase (RT-PCR) kali kedua, semalam.

"Mereka sudah melakukan ujian saringan itu buat kali kedua semalam dan keputusan dijangka diketahui esok.

"Kita mengharapkan ia mendapat keputusan yang baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Oktober 2021 @ 1:14 PM