KIMMICH (kanan) bersalaman dengan rakan sepasukan, Serge Gnabry pada perlawanan bertemu Hoffenheim di Munich hari ini. FOTO AFP
KIMMICH (kanan) bersalaman dengan rakan sepasukan, Serge Gnabry pada perlawanan bertemu Hoffenheim di Munich hari ini. FOTO AFP
AFP

Berlin: Joshua Kimmich mendedahkan dia memilih untuk tidak mengambil suntikan vaksin Covid-19 kerana 'kebimbangan peribadi' meskipun ketua jurulatih Bayern Munich, Julian Nagelsmann ketika ini menjalani kuarantin selepas positif wabak itu.

Menurut akhbar harian Jerman, Bild, Kimmich adalah salah satu daripada lima pemain Bayern yang tidak mengambil vaksin.

Selepas beraksi ketika pasukannya menang 4-0 di tempat sendiri ke atas Hoffenheim yang menyaksikan Bayern kekal menduduki tangga teratas Bundesliga, pemain berusia 26 tahun itu memberitahu Sky dia mempunyai keraguan untuk mendapatkan vaksin, terutamanya berkaitan dengan kekurangan kajian jangka panjang.

Bagaimanapun dia tetap mengamalkan segala prosedur operasi standard (SOP) untuk mengekang penularan wabak itu.

"Saya sedar mengenai tanggungjawab diri. Saya mematuhi langkah-langkah kebersihan dan menjalani ujian setiap dua atau tiga hari.

"Setiap orang perlu membuat keputusan mereka sendiri," katanya.

Pemain antarabangsa Jerman itu menegaskan dia tidak menentang mereka yang mendapatkan vaksin.

Malah dengan jumlah kes baharu yang semakin meningkat, Kimmich tidak menolak akan mendapatkan vaksin tidak lama lagi.

"Cuma sekarang saya masih ada kebimbangan dengannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Oktober 2021 @ 9:43 AM