DYBALA (dua dari kanan) boleh diturunkan selepas pulih dari kecederaan paha. FOTO EPA
DYBALA (dua dari kanan) boleh diturunkan selepas pulih dari kecederaan paha. FOTO EPA
AFP

Milan: Paulo Dybala kembali memperkuatkan Juventus menjelang pertemuan penting Serie A berdepan seteru, Inter Milan selepas baru pulih dari kecederaan paha.

Penyerang Argentina terpaksa berehat sejak mengalami kecederaan ketika membantu pasukannya menumpaskan Sampdoria bulan lalu.

Walaupun Massimiliano Allegri tidak mengesahkan sama ada pemain berusia 27 tahun itu akan berada dalam kesebelasan utama menjelang pertemuan di San Siro namun kehadiran Dybala menyuntik semangat Juve tatkala mereka cuba untuk melonjak ke tangga teratas liga.

"Dybala sudah kembali, dia berada dalam keadaan baik selepas melalui dua sesi latihan bersama skuad, jadi dia boleh disenaraikan.

"Kami semakin hampir untuk memperoleh skuad yang kesemuanya cergas, di mana ia sangat penting kerana bakal berdepan beberapa perlawanan bermula sekarang dan selepas itu rehat aksi antarabangsa," katanya.

Seramai 56,000 penyokong dijangka membanjiri San Siro tatkala Inter menjadi tuan rumah buat kali pertama dengan kapasiti lebih besar sejak jumlah penonton dinaikkan kepada 75 peratus oleh kerajaan Itali awal bulan ini.

Juve berada di tangga keenam, tiga mata di belakang Inter yang menduduki tempat ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Oktober 2021 @ 8:32 PM