KLOPP tetap anggap tugas sukar berdepan United. FOTO AFP
KLOPP tetap anggap tugas sukar berdepan United. FOTO AFP
AFP

Liverpool: Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp menafikan beliau teruja dan memandang mudah menjelang pertemuan dengan Manchester United Ahad ini di Old Trafford tatkala rangkaian serangannya berada pada prestasi terbaik.

Setakat ini rangkaian serangan Liverpool, Mohamed Salah, Sadio Mane dan Roberto Firmino ketiga-tiganya berada pada prestasi mantap untuk membantu The Reds mengekalkan rekod tanpa kalah, serta satu mata di belakang pendahulu, Chelsea.

Salah meledak dua gol ketika menang 3-2 ke atas Atletico Madrid keputusan yang menyaksikan sekurang-kurangnya Liverpool meledak tiga gol dalam setiap perlawanan musim ini dalam semua kejohanan.

United juga mencatat kemenangan dengan keputusan sama pertengahan minggu ini tapi perlu bangkit dari ketinggalan 0-2 menentang Atlanta, dibantu jaringan kemenangan Cristiano Ronaldo.

Bekas pemain tengah United, Paul Scholes berkata, Klopp sudah tentu gembira dengan pasukannya diletakkan sebagai pilihan untuk berdepan United yang menghuni tangga keenam, serta kehilangan Raphael Varane di bahagian pertahanan.

Bagaimanapun, Klopp berkata, menentang United di Old Trafford tetap satu tugas berat, walaupun prestasi lawannya itu tidak konsisten.

"Saya tidak pernah anggap ini perlawanan mudah. Tidak ada sebab untuk beranggapan seperti itu. Jika anda lihat perlawanan ketika mereka menentang Atlanta memang kelab Itali itu berjaya membuatkan mereka berdepan masalah.

"Bagaimanapun, pada separuh masa pertama United mempunyai tiga peluang untuk menjaringkan gol. Separuh masa kedua United menunjukkan kemampuan sebenar mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Oktober 2021 @ 9:45 PM