DUA penyokong Newcastle berpakaian ala Arab ketika menyaksikan perlawanan menentang Tottenham. FOTO EPA
DUA penyokong Newcastle berpakaian ala Arab ketika menyaksikan perlawanan menentang Tottenham. FOTO EPA
AFP

London: Newcastle United meminta penyokong mereka yang meraikan pengambilalihan kelab oleh pemilik dari Arab Saudi untuk tidak berpakaian ala Arab ketika menyaksikan perlawanan bagi mengelak daripada menyinggung perasaan mana-mana pihak.

Sesetengah penyokong memakai pakaian tradisi Arab iaitu jubah atau serban ketika aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Tottenham, Ahad lalu bagi perlawanan sulung di bawah pemilik baru.

"Newcastle United meminta penyokong agar tidak memakai pakaian tradisi Arab atau penutup kepala penutup kepala yang sering dipakai oleh masyarakat Timur Tengah, jika mereka tidak biasa memakai pakaian seperti itu.

"Beberapa penyokong yang hadir ke St James Park baru-baru ini memakai penutup kepala dan jubah, simbolik kepada pengambilalihan oleh PIF, PCP Capital Partners dan RB Sports & Media," jelas kelab berkenaan.

Kelab itu berkata, tidak ada daripada kumpulan pemilik baru yang tersinggung dengan pakaian berkenaan, kerana mereka menyedari ia adalah isyarat yang 'positif dan sebagai menyambut pemilik baru'.

"Namun, masih ada kemungkinan bahawa berpakaian dengan cara ini tidak sesuai dari segi budaya dan berisiko menyebabkan orang lain tersinggung.

"Semua penyokong, seperti biasa, digalakkan untuk memakai apa sahaja mengikut norma bagi budaya atau agama mereka sendiri, sekali gus mencerminkan bahawa kelab ini menerima kehadiran penyokong daripada pelbagai masyarakat dan bangga dengan sokongan diberikan," kata kelab berkenaan dalam satu kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Oktober 2021 @ 10:54 PM