PEMAIN Lazio meraikan kemenangan mereka ke atas Inter. FOTO AFP
PEMAIN Lazio meraikan kemenangan mereka ke atas Inter. FOTO AFP
AFP

Milan: Penyandang juara, Inter Milan mencatat kekalahan pertama dalam saingan Serie A musim ini selepas mereka kalah 1-3 dalam aksi penuh tegang bertemu Lazio, manakala AC Milan bangkit dari ketinggalan dua gol untuk menumpaskan Verona bagi menduduki tangga teratas liga.

Inter jelas sekali berang selepas Felipe Anderson menampan masuk bola pada minit ke-81 untuk membolehkan tuan rumah mendahului 2-1, dengan mereka merasakan Lazio sepatutnya memberhentikan permainan ketika itu kerana Federico Dimarco mengalami kecederaan.

Lima kad kuning dilayangkan tatkala pasukan pelawat melakukan protes dengan memberhentikan permainan beberapa minit, tatkala pertahanan pelawat, Denzel Dumfries bernasib baik tidak dilayangkan kad merah.

Ia aksi yang mengecewakan buat Simone Inzaghi selepas kembali ke ibu negara berkenaan apabila beliau meninggalkan Lazio sebaik berakhir musim lalu untuk menggantikan Antonio Conte di Inter.

Penggantinya di Lazio, Maurizio Sarri, yang sering dikritik pada minggu awal permulaan kempen berjaya melonjakkan pasukannya di tempat kelima.

"Kami melepaskan gol kedua yang sangat pelik dan mula hilang tumpuan.

"Ia tidak sepatutnya berlaku kerana pengadil membenarkan permainan diteruskan dan ketika itu berbaki 10 minit termasuk masa kecederaan, kami sepatutnya boleh bangkit.

"Gol ketiga sangat menambah derita kami, kerana tidak bertahan dengan baik dan kami hilang fokus ketika masih ada masa untuk mencari gol kedua," kata Inzaghi.

Inter kekal di tangga ketiga dan boleh dijarakkan dengan tujuh mata di belakang Napoli yang akan berdepan Torino esok.

AC Milan berpeluang untuk menduduki tangga teratas buat sementara waktu selepas Zlatan Ibrahimovic kembali dari kecederaan apabila masuk sebagai pemain gantian bagi membantu pasukannya mencatatkan kemenangan ke atas Verona 3-2.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Oktober 2021 @ 11:17 AM