ST James Park dijangka dipenuhi penyokong esok walaupun Newcastle berada di zon penyingkiran. FOTO AFP
ST James Park dijangka dipenuhi penyokong esok walaupun Newcastle berada di zon penyingkiran. FOTO AFP
AFP

Newcastle: Era baharu akan bermula buat Newcastle esok apabila St James Park dijangka dipenuhi penyokong bagi menyaksikan perlawanan pertama Magpies sejak kelab itu dikuasai dana kewangan Arab Saudi.

Amanda Staveley, seorang daripada pengarah baharu Newcastle, berkata cita-cita konsortium itu ialah menukar kelab yang bergelut itu menjadi juara Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam tempoh sedekad.

Bagaimanapun ada perbezaan besar di Newcastle, menjelang kunjungan Tottenham ke Tyneside dan ke mana Dana Pelaburan Awam Arab Saudi (PIF) mahu dibawa mereka.

Newcastle kini menduduki tempat kedua tercorot liga, tanpa kemenangan dalam tujuh perlawanan pembukaan musim ini.

Steve Bruce akan melalui perlawanan ke-1,000 dalam karier pengurusannya berdepan Tottenham selepas diberi jaminan semalam walaupun wujud spekulasi beliau akan dipecat.

"Perubahan tidak selalunya berlaku dalam tempoh sehari, ia memerlukan masa dan kami memikirkan dengan berhati-hati dalam aspek perancangan dan strategi.

"Steve sangat profesional dalam perbincangan kami dan beliau serta staf kejurulatihan akan membawa pasukan Ahad ini (esok). Jika kami mahu melakukan perubahan untuk ke depan, Steve akan menjadi orang pertama yang akan tahu," katanya.

Undian terbaru daripada penyokong Newcastle mendapati 94 peratus mahukan beliau meletak jawatan.

Kehadiran Bruce tampak mengurangkan kemeriahan dan keterujaan dalam kalangan penyokong.

"Perkara paling penting buat penyokong ialah melihat pasukan mereka menang perlawanan dan saya tahu mereka pasti ada di belakang pemain dalam keadaan yang kita biasa lihat di St James Park untuk tempoh yang sudah lama," kata Bruce.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Oktober 2021 @ 11:42 AM