JURGEN Klopp. FOTO AFP
JURGEN Klopp. FOTO AFP
AFP

London: Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mengingatkan Newcastle bahawa wang tidak boleh membeli kejayaan apabila Magpies menyertai kelab elit Eropah selepas diambil alih oleh konsortium Arab Saudi.

Newcastle menjadi bahan bualan selepas diambil alih dengan jumlah £305 juta (RM1.7 bilion) dan pemilik baharu akan menyaksikan perlawanan pertama di bawah pemilikan mereka apabila bertemu Tottenham, Ahad ini.

Newcastle berharap dapat meraih kejayaan konsisten seperti dilalui oleh juara Liga Perdana, Manchester City yang di bawah pemilikan jutawan Abu Dhabi.

Klopp menjangkakan Newcastle dapat memenuhi impian mereka namun beliau berasakan ia melalui cabaran yang sukar kerana wang semata-mata tidak menjamin kejayaan.

"Apa maknanya untuk bola sepak? Beberapa bulan lalu kita berdepan isu kelab-kelab mahu mewujudkan Liga Super.

"Tetapi kali ini mahu membentuk pasukan super yang menjamin tempat di Liga Juara-Juara dalam tempoh beberapa tahun lagi," kata Klopp.

"Penyokong Newcastle pastinya menyukainya tetapi wang tidak boleh membeli kejayaan.

"Mereka mempunyai wang dan tidak terlepas daripada melakukan kesilapan, tetapi akhirnya mereka akan berada di tempat yang mereka mahukan."

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Oktober 2021 @ 8:35 PM