PENYOKONG Newcastle berkumpul di luar Stadium St James' Park selepas kelab itu dibeli konsortium Arab Saudi. FOTO AFP
PENYOKONG Newcastle berkumpul di luar Stadium St James' Park selepas kelab itu dibeli konsortium Arab Saudi. FOTO AFP
Susunan Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Newcastle United secara rasmi muncul kelab paling kaya di dunia dan di Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas dijual kepada konsortium diketuai Arab Saudi, Khamis lalu.

Pemilikan 14 tahun Mike Ashley di kelab itu berakhir dengan pengambilalihan berjumlah £300 juta (RM1.7 bilion), 80 peratus daripadanya menerusi saham Dana Pelaburan Awam (PIF) Arab Saudi.

PIF memberi jaminan kepada Liga Perdana bahawa pengerusinya, Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman dan negara itu tidak mengawal sepenuhnya sebarang urusan perjalanan harian Newcastle, yang kini menghuni tangga kedua tercorot EPL selepas tujuh perlawanan.

Usaha pengambilalihan itu pada awalnya gagal tahun lalu selepas kebimbangan mengenai kemungkinan negara beraja itu mengawal perjalanan Newcastle kerana Arab Saudi didakwa melanggar hak asasi kemanusiaan selain isu hak penyiaran bola sepak.

Mohammed bin Salman bukan Pak Arab pertama yang menguasai pegangan saham di kelab bola sepak ternama di dunia. Beliau mengikut jejak langkah beberapa jutawan negara Arab termasuk Sheikh Mansour bin Zayed al-Nahyan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang membeli Manchester City dan Nasser Al-Khelaifi dari Qatar yang memiliki kelab Perancis, Paris Saint-Germain.

Sheikh Mansour, yang juga Timbalan Perdana Menteri UAE, turut menguasai saham di kelab kecil di seluruh dunia menerusi Abu Dhabi United Group termasuk Melbourne City FC di Australia dan New York City FC di Amerika Syarikat.

Beliau membeli Manchester City pada September 2008. Ketika itu mereka baru saja menduduki tangga kesembilan EPL, tidak meraih sebarang kejuaraan selama beberapa dekad dan terpaksa melihat penguasaan jirannya Manchester United dalam dua dekad terakhir.

Dua belas tahun berlalu, Manchester City kini adalah pasukan terkuat dalam liga, membayangi musuh setempatnya dengan kehadiran beberapa pemain ternama termasuk Sergio Aguero (kini di Barcelona), Kevin de Bruyne, Raheem Sterling, Joao Cancelo dan Bernardo Silva.

Pengerusi Qatar Sports Investments, Nasser mengubah nasib PSG dalam masa singkat selepas mengambil alih pada 2011. Apabila mereka mendapat dana, perkara pertama yang mereka lakukan adalah mengikat beberapa nama besar termasuk Zlatan Ibrahimovic, Thiago Silva, Edinson Cavani dan David Luiz.

Kelab yang ditubuhkan pada 1970 itu pada awalnya dimiliki pereka fesyen Perancis, Daniel Hechter. Selepas beliau terbabit dengan skandal penjualan tiket berganda, firma pelaburan membeli saham kelab itu. Pertukaran pemilik secara kerap tidak bagus buat mana-mana kelab dan kerana itu, PSG bergelut ketika itu.

Everton FC, kelab yang meraih pencapaian sederhana dalam EPL, dikuasai jutawan Iran, Farhad Moshiri yang membeli 49.9 peratus pegangan saham kelab itu pada 2016.

Sekalipun mereka mendapat pelabur yang bagus, persembahan The Toffees dalam EPL agak terumbang-ambing apatah lagi mereka pernah memenangi liga dua kali pada 1984 dan 1986 dan Piala FA dua kali pada 1984 dan 1985.

Sheffield United, yang kembali turun ke Liga Kejuaraan Inggeris musim ini, dimiliki jutawan perniagaan Arab Saudi, Putera Abdullah bin Mosaad bin Abdulaziz al-Saud.

Putera Abdullah membeli 50 peratus saham di Sheffield United pada 2013. Pada 2020, selepas pertarungan lama di mahkamah dengan pengerusi bersama Kevin McCabe, beliau berjaya menguasai 100 peratus pegangan saham kelab itu.

Satu lagi kelab Liga Kejuaraan, Hull City dimiliki jutawan Mesir, Assem Allam yang membeli kelab itu pada 2010 dan menyuntik dana £40 juta (RM227 juta) untuk menguatkan pasukan.

Seperti Hull yang mengalami krisis kewangan, Malaga CF yang beraksi di divisyen dua Sepanyol, turut memerlukan suntikan dana bagi mengukuhkan saingan mereka.

Pada 2010, Sheikh Abdullah Al Thani, kerabat diraja Qatar membeli kelab itu sekali gus menyaksikan peningkatan drastik di bawah kendalian Manuel Pellegrini. Namun selepas Pellegrini dipecat, persembahan kelab itu merosot dan paling menyedihkan akhir-akhir ini, Sheikh Abdullah enggan mengeluarkan perbelanjaan besar membeli pemain terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Oktober 2021 @ 12:57 PM