AKSI Ribeiro menyepak pengadil di Brazil.
AKSI Ribeiro menyepak pengadil di Brazil.
Agensi

Sao Paulo: Perlawanan membabitkan dua kelab divisyen dua di Brazil terpaksa ditangguhkan selepas seorang pemain bertindak ganas dengan menolak pengadil sehingga terjatuh dan menyepak belakang kepalanya sehingga pengsan.

Insiden yang berlaku di minit ke-60 ketika Guarani menentang Sao Paulo-RS semalam dirakam kamera televisyen menunjukkan William Ribeiro tidak puas hati dengan pengadil, Rodrigo Crivellaro yang meneruskan permainan selepas dia dikasari pemain Guarani.

Pengadil kemudiannya memberikan amaran kepada Ribeiro namun dia ditolak sehingga terjatuh dan disepak di bahagian kepala oleh pemain itu sehingga tidak sedarkan diri.

Pemain kedua-dua pasukan pantas memanggil petugas perubatan sejurus selepas serangan berlaku dan Crivellaro dikejarkan ke hospital berdekatan di Venancio Aires. Dia dilaporkan selamat dan dalam keadaan stabil.

Ribeiro kemudiannya ditahan polis dan bakal didakwa atas cubaan membunuh.

Sao Paulo-RS dalam satu kenyataan berkata insiden itu salah satu episod paling sedih dalam sejarah mereka dan kontrak Ribeiro telah ditamatkan dan kelab akan mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.

"Kami meminta maaf kepada pengadil terbabit dan keluarganya, begitu juga kepada penyokong di atas insiden tidak sepatutnya berlaku,'' kata kelab terbabit.

Insiden berlaku pada hari Sao Paulo meraikan ulang tahun ke-123.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Oktober 2021 @ 8:20 AM