PEMAIN Negeri Sembilan FC sedang mengasak pemain Melaka United FC, Sony Norde (dua kanan) semalam. FOO Syafeeq Ahmad
PEMAIN Negeri Sembilan FC sedang mengasak pemain Melaka United FC, Sony Norde (dua kanan) semalam. FOO Syafeeq Ahmad
Nazri Abu Bakar


Melaka: Tewas 0-2 kepada Melaka United (MU) meletakkan Negeri Sembilan FC (NSFC) wajib bangkit menewaskan Kelantan United FC (KUFC) dalam usaha mencipta kejutan di Piala Malaysia musim ini.

Jurulatih NSFC, K Devan berkata, kekalahan kepada pasukan Hang Tuah kekal meletakkan skuad Jang sebagai pasukan bukan pilihan dalam kumpulan C itu yang turut dibarisi Kedah Darul Aman FC (KDAFC).

Katanya, dia mengakui persembahan dan kualiti pasukan Liga Super lebih baik dengan memiliki pemain berpengalaman terutama bagi menghadapi saingan piala berprestij terbabit.

Menurutnya, mampu atau tidak melakukan kejutan bergantung kepada aksi kedua berdepan KUFC di gelanggang lawan Khamis ini dalam misi meraih mata maksimum.

"Justeru, kemenangan keatas lawan boleh menjadi penanda aras kepada persembahan pasukan NSFC untuk mengintai peluang mara ke suku akhir.

"Apapun, aksi perlawanan menentang Melaka dilihat sebagai pentas untuk pemain memperbaiki persembahan terutama terdapat beberapa pemain yang gagal mengikut perancangan selain hilang fokus dan tumpuan.

"Malah kesilapan pertahanan gagal menghalang percubaan bahaya lawan juga memberi kelebihan buat Melaka menjaringkan gol sekali gus merekodkan kekalahan pasukan kami," katanya.

Devan berkata, pada 45 minit pertama pemain tidak beraksi di tahap sebenar namun mereka lebih baik pada babak kedua termasuk melakukan tekanan kepada lawan.

Situasi terbabit menyaksikan anak buahnya turut mencipta peluang meledak gol namun mereka kurang kreatif selain pertahanan tuan rumah bermain dengan baik dalam tempoh perlawanan di padang basah terbabit.

Jaringan kemenangan Melaka disumbangkan menerusi jaringan Adriano Aparecido Narcizo (m-28) dan S Kumahraan (m-65) untuk tuan rumah ceria meraih tiga mata.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 September 2021 @ 11:57 AM