OSIMHEN (kiri) sekali lagi mempamerkan aksi cemerlang bersama Napoli. FOTO AFP
OSIMHEN (kiri) sekali lagi mempamerkan aksi cemerlang bersama Napoli. FOTO AFP
AFP

Milan: Napoli mengekalkan permulaan cemerlang kempen Serie A musim ini selepas menang 2-0 ke atas Cagliari bagi membolehkan mereka merampas kedudukan teratas liga, manakala Lazio berjaya mencatat kemenangan 3-2 ke atas seteru setempat, Roma.

Pasukan bimbingan Luciano Spalletti mencatat kemenangan keenam ketika berdepan Cagliari yang dipimpin bekas pengurus Napoli, Walter Mazzarri.

Ia juga menyaksikan Victor Osimhen meledak gol keenam dalam semua kejohanan bulan ini dan penalti pada separuh masa kedua yang diambil Lorenzo Insigne meraikan penampilannya kali ke-400 bersama Napoli.

Mereka memiliki kelebihan dua mata mengatasi AC Milan dan memberikan satu lagi persembahan penamat minggu yang meyakinkan selepas meledak 10 gol tanpa bolos dalam tiga perlawanan liga.

"Cara terbaik untuk meraikannya ialah mencatat kemenangan dan menjaringkan gol," kata Insigne yang kurang empat gol daripada Diego Maradona (115).

Hujung minggu ini Napoli akan berkunjung ke Fiorentina iaitu ujian pertama yang sebenar mereka untuk cuba menjadi pencabar kejuaraan liga.

Mereka tidak berdepan masalah untuk mengatasi Cagliari, apabila Osimhen meledak gol keempat daripada lima penampilan di Serie A musim ini selepas menyudahkan hantaran rendah Piotr Zielinski pada minit ke-11.

Dia juga terbabit dalam jaringan kedua pada minit ke-57 selepas dijatuhkan Diego Godin dalam petak penalti dan Insigne mudah melaksanakan tugasnya.

Sementara itu, jaringan Sergej Milinkovic-Savic, Pedro dan Felipe Anderson membolehkan Derby mencatat kemenangan tipis ke atas Roma di Stadio Olimpico yang menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dalam tempoh 90 minit.

Pasukan bimbingan Maurizio Sarri sebelum ini gagal mencatat sebarang kemenangan dalam tiga aksi terakhir namun sekarang sudah berjaya menduduki tangga keenam dengan memungut 11 mata, tujuh mata di belakang Napoli.

Mereka hanya kurang satu mata di belakang Roma yang menduduki tempat keempat dan memperoleh dua gol melalui Roger Ibanez dan Jordan Veretout.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 September 2021 @ 11:55 AM