KLOPP pening wujudnya perebutan antara negara dan kelab jika peraturan Covid-19 tidak diubah. FOTO AFP
KLOPP pening wujudnya perebutan antara negara dan kelab jika peraturan Covid-19 tidak diubah. FOTO AFP
AFP

London: Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp meminta agar ada kaedah terbaik untuk menghalang berlakunya perebutan pemain antara kelab dan negara ketika saingan kelayakan Piala Dunia disebabkan peraturan Covid-19.

Lapan pemain Brazil yang beraksi di Liga Perdana Inggeris (EPL) termasuk penjaga gol Liverpool, Alisson Becker dan pemain tengah, Fabinho disenaraikan oleh jurulatih Brazil, Tite bagi aksi kelayakan Piala Dunia bulan depan.

Kelab EPL enggan melepaskan pemain awal bulan ini untuk perlawanan di negara-negara yang disenaraikan dalam zon merah oleh kerajaan Britain kerana peraturan perlu menjalani kuarantin selama 10 hari selepas pulang dari tugasan antarabangsa.

Sebagai tindak balas, Persekutuan Bolasepak Brazil (CBF) bersama tiga lagi badan induk negara lain meminta Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) agar menghalang pemain daripada beraksi bersama kelab masing-masing selama lima hari, namun mereka menarik balik permintaan itu.

"Mesti ada jalan penyelesaian kerana kami tidak boleh membiarkan saja perkara ini dan berkata ia tidak ada masalah. Ya, memang ada masalah.

"Saya tahu ada orang-orang yang berkenaan cuba untuk menyelesaikan masalah ini namun masih belum ada keputusan.

"Kami akan berdepan masalah jika melepaskan pemain Brazil atau ketika mereka beraksi bagi aksi antarabangsa seterusnya.

"Kami akan memulakan aksi pada jam 12.30 tengah hari di Watford (16 Oktober). Perlawanan di Brazil pada Jumaat malam (15 Oktober), jadi tidak ada yang memikirkan mengenai perkara ini.

"Saya tidak tahu bagaimana anda boleh melakukan perkara seperti ini di mana tidak ada yang memberi reaksi mengenai jadual perlawanan. Kami mempunyai dua masalah. Salah satunya adalah mengenai jadual perlawanan, ia selalu menjadi masalah.

"Satu lagi, ia tidak bagus buat pemain dan juga kelab, jadi saya harap kerajaan mempunyai penyelesaian masalah ini," kata Klopp.

Presiden FIFA, Gianni Infantino dan Perdana Menteri Britain, Boris Johnson mengadakan perbincangan minggu ini mengenai pengecualian kuarantin terhadap pemain EPL.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 September 2021 @ 8:31 AM